SHAH ALAM – Pemerhati bola sepak, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berharap tiada lagi kekeliruan dibangkitkan terutamanya membabitkan peraturan berkenaan pemain naturalisasi dan pemain warisan.
Jelas Dr Zulakbal, Malaysian Football League (MFL) telah pun memberi kenyataan berhubung status pemain iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dari Johor Darul Ta’zim (JDT) serta Gabriel Palmero yang mewakili Kuching City FC yang telah didaftarkan mengikut Peraturan Pertandingan musim 2025-2026.
Hakikatnya, masih ada yang keliru berkenaan pemain naturalisasi dan pemain warisan di mana kedua-duanya tertakluk kepada proses dan syarat yang tidak sama.
Dalam situasi ini, tujuh pemain iaitu Hector Hevel, Imanol Machuca, Rodrigo Holgado, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal yang menjadi perbualan hangat telah pun didaftarkan menggunakan kad pengenalan sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Ramai yang mengatakan mengenai syarat pemain yang ingin mendapatkan kewarganegaraan Malaysia menerusi naturalisasi.
“Sedangkan ia adalah dua perkara berbeza iaitu pemain naturalisasi dan pemain berdarah warisan, jadi mengikut undang-undang, 7 pemain tersebut mereka telah didaftarkan menggunakan kad pengenalan sah yang telah diberikan oleh JPN.
“Jadi, tiada istilah MFL melanggar peraturan di mana pendaftaran pemain tersebut di Liga Malaysia telah mengikut peraturan yang betul.
“Bagi saya, isu naturalisasi ini lebih kepada melibatkan skuad kebangsaan tetapi ini lebih kepada pertandingan liga domestik dan kalau keputusan MFL ini salah, saya percaya pihak AFC tidak akan berdiam diri. AFC juga telah mengeluarkan hukuman pemotongan mata pada skuad kebangsaan manakala kelab pemain terlibat tidak dikenakan apa-apa tindakan kerana isu ini lebih kepada perlawanan antarabangsa skuad kebangsaan.
“Tetapi saya difahamkan AFC pun dah bagi kenyataan mengatakan yang MFL telah buat keputusan berdasarkan Peraturan Pertandingan Liga Malaysia dan semua telah sedia maklum.
“Kita tidak boleh mempertikaikan status pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan seorang pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero sebagai rakyat Malaysia, mereka ini sudah mempunyai IC, kalau nak mengundi pilihan raya pun memang boleh. Jadi tak ada isu atau prejudis pun sebab mereka ini sudah ada kad pengenalan yang sah.
“Saya rasa sekarang lebih baik kita fokus untuk pertandingan akan datang dan mahu atau tidak, kita kena terus bergerak ke hadapan, perbaiki apa yang patut serta elakkanlah berbalah berterusan,” jelasnya. – DETIK MALAYSIA