ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus membuktikan status selaku pasukan ‘unbeatable’ apabila membelasah PDRM FC 7-0 dalam aksi Liga Super Malaysia 2025/2026 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Skuad Harimau Selatan bermula garang seawal minit awal menerusi gerakan lincah Manuel Hidalgo, namun percubaannya sekadar melebar. PDRM sempat menguji benteng tuan rumah, tetapi rembatan Fakhrul Azim berjaya dinafikan penjaga gol JDT, Syihan Hazmi.
JDT membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi Yago Cesar sebelum Stuart Wilkin menggandakan kelebihan dengan rembatan padu dari luar kotak penalti pada minit ke-25.
Kelebihan 3-0 pada babak pertama meletakkan JDT selesa mengawal permainan.
Bersambung babak kedua, Wilkin sekali lagi mencuri tumpuan apabila meledak gol kedua peribadi pada minit ke-51 untuk menjadikan kedudukan 4-0.
Walaupun PDRM cuba bangkit menerusi Elisha Segun, ketangkasan Syihan memastikan gawang JDT terus kebal, manakala benteng yang diketuai Matthew Davies kekal utuh.
JDT kemudian menggandakan derita pelawat apabila Jairo da Silva meledak dua gol pantas pada minit ke-80 dan 83 sebelum Bergson da Silva melengkapkan pesta gol dengan jaringan ketujuh pada minit ke-88.
Keputusan 7-0 itu mengesahkan dominasi JDT yang terus mengukuhkan cengkaman di puncak Liga Super musim ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST