PETALING JAYA – Kuching City FC tampil memberikan penjelasan terperinci susulan isu ‘teamsheet’ yang tular melibatkan status pemain, Scott Woods ketika aksi Liga Super Malaysia 2025/2026 menentang Penang FC.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Iswandi Ali Hassan memaklumkan, pasukan itu membawa seramai 20 pemain ke Pulau Pinang termasuk Woods, manakala Danial Amier tidak bersama pasukan kerana menjalani pemulihan kecederaan di Kuching.
Menurut beliau, senarai rasmi 20 pemain telah dihantar dengan betul pada hari perlawanan, namun berlaku kesilapan teknikal apabila nama Woods didakwa hilang daripada borang pendaftaran dan digantikan dengan nama Danial.
“Situasi itu menimbulkan kekeliruan kerana Danial langsung tidak berada di lokasi perlawanan, sebaliknya Woods berada bersama pasukan,” katanya.
Tambahnya, mengikut prosedur operasi standard (SOP) sebelum sepak mula, pegawai perlawanan sepatutnya membuat semakan akhir di bilik persalinan, namun perkara itu dipercayai tidak dilaksanakan.
Malah, Woods berada di bangku simpanan sepanjang perlawanan tanpa sebarang teguran sebelum dimasukkan pada minit ke-90, sekali lagi tanpa bantahan daripada pegawai perlawanan.
Mengulas lanjut, Iswandi menegaskan pihak kelab akan terus berpegang kepada prinsip untuk berjuang mengikut peraturan serta berani berdepan realiti.
Sepanjang sedekad penglibatan dalam arena bola sepak negara, katanya, Kuching City telah melalui pelbagai cabaran melibatkan penganjur, pegawai perlawanan dan pasukan lawan.
“Kami akan terus memperbaiki kelemahan dan bergerak ke hadapan. Ini adalah satu lagi cabaran yang akan mematangkan pasukan,” katanya.
Kuching City dalam masa sama menegaskan komitmen untuk memberikan kerjasama penuh kepada Malaysian Football League (MFL) bagi menyelesaikan isu tersebut secara profesional melalui saluran ditetapkan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – KCFC