PETALING JAYA – Kejatuhan mendadak ranking dunia Harimau Malaya mencetuskan kebimbangan apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggesa reformasi menyeluruh dilaksanakan demi memulihkan semula imej bola sepak negara.
Berdasarkan ranking terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Malaysia merosot 14 anak tangga daripada kedudukan ke-121 ke tangga ke-135 dunia, sekali gus mengundang pelbagai persoalan terhadap hala tuju semasa skuad kebangsaan.
Kemerosotan itu berlaku susulan keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang membatalkan kemenangan Malaysia ke atas Vietnam dan Nepal dalam Kelayakan Piala Asia 2027 ekoran isu kelayakan pemain warisan.
Keputusan tersebut bukan sahaja menjejaskan kempen kelayakan negara, malah memberi impak besar kepada kutipan mata ranking FIFA menerusi sistem pengiraan masa nyata.
Menteri Belia dan Sukan, Taufiq Johari mengakui kekecewaan yang dirasai rakyat, khususnya penyokong bola sepak tempatan.
“Saya berkongsi kekecewaan rakyat Malaysia terhadap kejatuhan ranking ini serta kontroversi yang melanda skuad kebangsaan sejak kebelakangan ini,” katanya.
Menurut beliau, situasi itu perlu dijadikan pengajaran penting kepada semua pihak berkepentingan agar aspek tadbir urus dan perancangan jangka panjang dapat diperkasakan.
Dalam masa sama, KBS menegaskan pembangunan bola sepak terutama di peringkat akar umbi perlu terus diberi keutamaan menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
“Kita kekal dengan pendirian tidak campur tangan dalam urusan dalaman Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), namun kerjasama rapat akan terus diperkukuh bagi menstabilkan prestasi pasukan,” jelasnya.
Tambah beliau, sesi libat urus secara berkala bersama FAM akan diteruskan bagi merangka strategi memperbaiki prestasi dan mengelakkan kejatuhan ranking berterusan.
Pada masa sama, pemantauan tetap dilaksanakan menerusi Pejabat Pesuruhjaya Sukan bagi memastikan pematuhan terhadap standard tadbir urus di bawah Akta Pembangunan Sukan.
KBS turut menyatakan sokongan terhadap usaha pembaharuan dalaman FAM bersama AFC termasuk kemungkinan mengadakan kongres bagi memilih kepimpinan baharu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Bernama