KUALA LUMPUR – Krisis geopolitik di Asia Barat yang semakin memuncak ketika ini disifatkan sebagai mencerminkan ‘dunia dua darjat’ apabila tekanan antarabangsa dilihat lebih tertumpu kepada Iran berhubung Selat Hormuz, berbanding penderitaan berterusan rakyat Gaza.
Penyelaras kenyataan bersama, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, keadaan itu jelas menunjukkan ketidakadilan sistem global yang mengutamakan kepentingan ekonomi berbanding nilai kemanusiaan.
“Apabila laluan strategik dikawal kuasa Barat, ia dianggap sebagai keselamatan, tetapi apabila Iran mempertahankan kedudukannya, ia dilabel sebagai ancaman.
“Dalam masa sama, Gaza terus disekat dan rakyatnya menderita, namun dunia seolah-olah membisu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Selat Hormuz yang membawa kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia sememangnya penting, namun tumpuan tidak seharusnya mengabaikan punca sebenar ketegangan.
Katanya, sekatan berterusan ke atas Gaza menyebabkan rakyat awam berdepan kekurangan makanan, air dan ubat-ubatan selain kemusnahan infrastruktur.
Sehubungan itu, beliau menegaskan sekatan terhadap Gaza perlu ditamatkan serta-merta selain menggesa Israel menghentikan pencerobohan dan berundur dari wilayah berkenaan.
“Tiada perbincangan mengenai kestabilan serantau yang boleh dianggap sah selagi Gaza masih dikepung,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan Iran sebagai negara berdaulat mempunyai hak untuk bertindak balas terhadap sebarang ancaman mengikut undang-undang antarabangsa.
Kenyataan tersebut turut disokong beberapa pertubuhan termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), MANAR, SHURA dan beberapa organisasi lain. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI