KINSHASA – Skuad DR Congo melakar sejarah tersendiri apabila menempah tiket ke Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Jamaica 1-0 dalam aksi play-off antara konfederasi, awal pagi tadi.
Kemenangan dramatik itu hadir menerusi jaringan masa tambahan oleh Axel Tuanzebe yang menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru sekali gus mencetuskan kegembiraan luar biasa dalam kalangan pemain dan penyokong The Leopards.
Sepanjang perlawanan, Jamaica yang diketuai penjaga gol berpengalaman, Andre Blake, mempamerkan aksi bertahan kental apabila beberapa kali menafikan percubaan berbahaya DR Congo.
Antara peluang terbaik hadir pada separuh masa pertama menerusi rembatan kencang Meschack Elia yang sekadar menggegarkan tiang gol sebelum diselamatkan pertahanan lawan.
Jamaica turut mencipta beberapa peluang menerusi Kasey Palmer dan Leon Bailey, namun gagal menemui sentuhan penyudah untuk memecah kebuntuan.
Memasuki babak kedua, Blake sekali lagi bertindak cemerlang apabila menepis percubaan lencong Cedric Bakambu, memastikan gawang Jamaica terus kebal sehingga tamat masa sebenar.
Perlawanan yang berlarutan ke masa tambahan akhirnya memihak DR Congo apabila Tuanzebe bijak melepaskan diri daripada kawalan sebelum menyempurnakan peluang dari jarak dekat untuk gol kemenangan.
Keputusan itu menamatkan penantian lebih lima dekad DR Congo untuk kembali beraksi di pentas Piala Dunia sejak kali terakhir pada 1974.
Sebagai rekod, DR Congo akan bersaing dalam Kumpulan K bersama Colombia, Portugal dan Uzbekistan pada kejohanan Piala Dunia 2026 nanti. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FIFA