NINH BINH – Hasrat skuad Harimau Malaya menutup kempen kelayakan Piala Asia 2027 dengan keputusan positif tidak kesampaian apabila tewas 1-3 kepada Vietnam di Stadium Thien Truong, malam tadi.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia menamatkan kempen dengan tiga kemenangan dan tiga kekalahan daripada enam perlawanan, manakala Vietnam meraikan aksi cemerlang di laman sendiri.
Malaysia memulakan perlawanan dengan Syihan Hazmi di gawang, dibantu tonggak utama seperti Faisal Halim dan kapten, Matthew Davies, manakala Vietnam mempertaruhkan penjaga gol Nguyen Filip serta penyerang naturalisasi, Nguyen Xuan Son.
Pasukan tuan rumah bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi tandukan kapten, Do Duy Manh hasil sepakan sudut.
Tersentak dengan gol awal itu, Malaysia cuba bangkit dengan beberapa gerakan berbahaya, namun percubaan Faisal Halim dan Stuart Wilkin gagal menewaskan Nguyen Filip yang cemerlang mengawal gawang.
Vietnam hampir menambah jaringan pada minit ke-31 menerusi rembatan jarak jauh Do Hoang Hen, namun Syihan Hazmi bertindak cemerlang menafikan percubaan tersebut.
Bersambung babak kedua, Vietnam terus mengasak dan Nguyen Xuan Son muncul wira apabila meledak dua gol dalam tempoh 10 minit untuk melebarkan kedudukan kepada 3-0.
Malaysia sekadar memperoleh gol saguhati pada minit ke-77 apabila pemain gantian, Endrick dos Santos menyempurnakan sepakan penalti selepas Daniel Ting dijatuhkan dalam kotak penalti.
Keputusan itu sekali gus memperlihatkan kelebihan Vietnam di laman sendiri, selain menonjolkan kelemahan Malaysia dalam aksi penting di tempat lawan sepanjang kempen kelayakan kali ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZNews