ZENICA – Skuad gergasi Eropah, Itali sekali lagi dikecewakan apabila gagal layak ke Piala Dunia 2026 selepas tewas 1-4 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Bosnia and Herzegovina dalam aksi play-off di Stadium Bilino Polje, awal pagi tadi.
Keputusan itu menyaksikan juara dunia empat kali tersebut terlepas pentas Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut, satu lagi episod hitam dalam sejarah bola sepak mereka.
Itali bermula cemerlang apabila membuka jaringan seawal minit ke-15 menerusi Moise Kean selepas memanfaatkan kesilapan penjaga gol Bosnia, Nikola Vasilj.
Gerakan itu berpunca daripada rampasan bola oleh Nicolo Barella sebelum menghantar kepada Kean yang melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti.
Namun, Bosnia bangkit memberi tekanan dengan beberapa percubaan berbahaya yang memaksa Gianluigi Donnarumma bekerja keras menyelamatkan gawang daripada dibolosi.
Situasi menjadi lebih sukar buat Itali apabila Alessandro Bastoni dilayangkan kad merah pada minit ke-42 selepas mengasari Amir Memic, memaksa mereka beraksi dengan 10 pemain.
Kelebihan itu dimanfaatkan Bosnia pada babak kedua sebelum akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-79.
Tandukan Edin Dzeko berjaya ditepis Donnarumma, namun pemain gantian Haris Tabakovic pantas menyambar bola muntah untuk gol penyamaan.
Perlawanan berlarutan ke penentuan penalti yang menyaksikan Italy gagal menyempurnakan dua sepakan menerusi Pio Esposito dan Bryan Cristante.
Bosnia pula tenang menyempurnakan semua sepakan, dengan Esmir Bajraktarevic menjaringkan penalti terakhir untuk mengesahkan kemenangan.
Kejayaan itu mencetuskan kegembiraan luar biasa penyokong tuan rumah, manakala Itali terus berdepan realiti pahit apabila sekali lagi tersisih daripada pentas bola sepak paling berprestij dunia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FIGC