KUALA LUMPUR – Keputusan parlimen Israel, Knesset, meluluskan undang-undang membenarkan hukuman mati terhadap tahanan Palestin disifatkan sebagai satu ketidakadilan serius yang memerlukan campur tangan segera masyarakat antarabangsa.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, langkah itu merupakan satu bentuk eskalasi berbahaya yang mencerminkan keganasan disahkan negara terhadap rakyat Palestin.
Menurutnya, undang-undang tersebut membuka ruang kepada pelaksanaan hukuman tanpa perbicaraan adil, penyalahgunaan kuasa terhadap tahanan politik dan orang awam, selain menormalkan penggunaan kekerasan di bawah kerangka perundangan yang dipertikai.
“Dalam situasi pendudukan, sistem kehakiman tidak boleh dianggap bebas atau adil apabila dikenakan ke atas rakyat yang dijajah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa tindakan itu jelas melanggar prinsip asas Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa, termasuk hak perbicaraan adil, perlindungan tahanan serta larangan hukuman bersifat diskriminasi dan kolektif.
Sehubungan itu, Mapim menggesa United Nations Security Council mengadakan sidang tergempar bagi mengecam undang-undang berkenaan, selain mendesak International Criminal Court menjalankan siasatan terhadap kemungkinan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Dalam masa sama, Organisation of Islamic Cooperation disaran menggerakkan tekanan diplomatik secara kolektif, manakala International Committee of the Red Cross diminta mempergiat pemantauan bagi memastikan keselamatan tahanan Palestin terjamin.
Tambah beliau, pelaksanaan undang-undang itu berpotensi meningkatkan ketegangan serantau, menjejaskan usaha damai serta mencetuskan kitaran keganasan berpanjangan.
“Ini bukan langkah keselamatan, sebaliknya satu provokasi yang memberi implikasi besar,” katanya.
Mapim turut menegaskan bahawa kehidupan rakyat Palestin tidak boleh tertakluk kepada undang-undang yang bersifat diskriminasi, selain memberi amaran bahawa kegagalan bertindak hanya akan menggalakkan lebih banyak pelanggaran hak asasi.
“Sudah tiba masanya semua pihak bersuara, meningkatkan tekanan diplomatik dan mempertahankan keadilan serta maruah kemanusiaan,” ujarnya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI