KUALA TERENGANU – Saingan pembuka tirai Junior Cycling Malaysia (JCM) Siri 1 di Langkawi bermula 3 April ini bakal menjadi pentas penting buat skuad muda TSG Cycling Academy untuk mengukur tahap sebenar prestasi mereka bagi musim 2026.
Dikendalikan oleh bekas pelumba elit negara, Zamri Saleh, barisan pelumba pelapis itu dilihat semakin bersedia untuk mengharungi cabaran kedua musim ini, dengan fokus utama terarah kepada pendedahan kompetitif dalam kategori bawah 21 tahun.
Menurut Zamri, penyertaan dalam JCM bukan sekadar memburu keputusan, sebaliknya memberi ruang terbaik untuk menilai keupayaan semasa pasukan secara lebih menyeluruh.

“JCM mempunyai reputasi tersendiri dan menghimpunkan pelumba berkualiti dari seluruh negara. Ini peluang terbaik untuk kami melihat sejauh mana tahap semasa pelumba, selain mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki.
“Kita perlu bezakan antara kualiti perlumbaan dan kualiti pelumba. Kedua-duanya penting dalam proses pembangunan atlet muda,” katanya.
Beliau turut menjelaskan kekangan kejohanan tempatan yang menawarkan kategori umur bawah 21 tahun menjadikan setiap peluang yang ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
“Sebahagian besar pelumba kami masih di bawah 19 tahun. Jadi mereka sangat memerlukan pendedahan dalam perlumbaan yang benar-benar kompetitif dan bersesuaian dengan peringkat umur,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zamri tidak menafikan sasaran podium tetap menjadi keutamaan, namun bagi fasa awal musim ini, penekanan lebih diberikan kepada aspek peningkatan prestasi pasukan secara keseluruhan selepas kurang beraksi dalam kejohanan kompetitif tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Cycling Team (TSG), Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood, menyifatkan tahun 2026 sebagai tempoh penting dalam pembangunan skuad pelapis berkenaan.
Menurutnya, fokus utama pasukan adalah untuk mencapai prestasi terbaik di Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2026 yang dijadual berlangsung pada Julai nanti.
“Selain menyertai beberapa kejohanan utama dalam negara, pelumba juga akan menjalani program latihan di luar negara sebagai persediaan jangka panjang.
“Malah, sebahagian daripada mereka turut berada dalam perancangan untuk mewakili negeri pada temasya SUKMA Selangor 2026,” katanya.
JCM Siri 1 yang dijadualkan untuk bermula pada 3 April sehingga 5 April di Langkawi, Kedah ini mempertaruhkan 9 kategori keseluruhan dari peringkat usia seawal 4 tahun sehingga 6 tahun bagi kategori pushbike manakala bagi kategori berbasikal lebuh raya lelaki dan wanita seawal usia 9 tahun sehingga 22 tahun. – DETK MALAYSIA