KUALA LUMPUR – Pertahanan import Sabah FC, Gabriel Peres mahu terus mencuri peluang untuk membantu pasukan raih keputusan positif di final pertama MFL Challenge Cup menentang Penang FC, Sabtu ini.
Ini merupakan perlawanan akhir yang kedua untuk The Rhinos pada musim ini selepas aksi final Piala FA pada Disember lalu yang menyaksikan Peres terlepas pertembungan itu ekoran kecederaan.
Justeru, pemain dari Brazil ini enggan melepaskan peluang selepas pulih sepenuhnya untuk cuba memberikan impak terbaik terutamanya selepas dia juga menjadi antara wira pasukan yang membawa Sabah ke pentas final ini menerusi jaringan tunggalnya pada aksi separuh akhir, Mac lalu.
“Tahun lepas saya tak boleh bermain di final Piala FA sebab kecederaan, jadi sudah tentu untuk final Challenge Cup in akan berbeza untuk saya, dan saya nak beri 100 peratus untuk perlawanan ini baik di final pertama dan final kedua.
“Mentaliti saya semakin kuat sebab sebelum ini agak susah disebabkan situasi kecederaan di mana saya dalam proses pemulihan dan sebagainya.
“Sekarang sudah betul-betul pulih di mana saya bersedia untuk berikan yang terbaik terutamanya dalam aksi final seperti ini,” katanya.
Dengan prestasi perkembangan lawan, Penang FC yang kini semakin konsisten, Peres mengakui intensiti sesi latihan minggu ini agak tinggi di mana barisan pemain perlu lebih bijak untuk mengawal tekanan tinggi atas padang bagi mendapatkan bekalan lebih selesa sebelum aksi final kedua di Likas nanti.
“Minggu ini agak berbeza sedikit sebab kita dah menanti final ini dan setiap hari kami tidak pernah hilang fokus dalam latihan.
“Dan Penang FC pula ada ramai pemain bagus, mereka semakin kuat di setiap posisi, ada jurulatih bagus juga. Dan kita tak boleh buat silap untuk final pertama ini,'” tambahnya.
Final pertama MFL Challenge Cup ini akan berlangsung di Stadium Bandaraya sebelum mereka berentap di final kedua pula pada 19 April di Stadium Likas. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – MFL