KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan sebuah pusat berteraskan ilmu dan inovasi dikenali sebagai Mapim Institute for Science, Technology and Civilization (MISTAC).
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, penubuhan itu selari dengan keperluan semasa untuk mengintegrasikan kemajuan sains dan teknologi dengan nilai kemanusiaan, etika serta peradaban.
Menurut beliau, MISTAC bakal menjadi platform penting dalam membina ekosistem ilmu yang menggabungkan elemen sains, teknologi dan nilai peradaban bagi menyumbang kepada pembangunan negara secara lebih menyeluruh.
“Penubuhan ini juga bertujuan mengangkat peranan umat Islam dalam bidang inovasi, penyelidikan dan teknologi masa depan selain menjadi pusat pemikiran strategik dalam menangani cabaran global serta isu umat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, antara objektif utama MISTAC termasuk menghasilkan kerangka dasar dan pemikiran strategik dalam bidang sains dan teknologi berteraskan nilai, selain membangunkan program penyelidikan serta inovasi berimpak tinggi.
Katanya, pusat itu turut menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai saintis dan pemikir Muslim yang berdaya saing di peringkat global.
“MISTAC juga akan menjadi penghubung antara dunia akademik, industri dan masyarakat dalam satu ekosistem kolaboratif serta platform dialog antara sains, teknologi dan peradaban,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mapim turut menjalin kerjasama strategik dengan MobilityOne Sdn Bhd menerusi inisiatif Innovasi Road2Haramain R&D Center @ MRANTI.
Kerjasama tersebut merangkumi pemerkasaan inovasi teknologi dan digitalisasi, pembangunan solusi berasaskan teknologi masa depan serta sokongan kepada ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Selain itu, MISTAC dijangka berperanan sebagai think tank di peringkat nasional dan antarabangsa, hab inovasi teknologi berteraskan nilai serta platform kolaborasi pelbagai disiplin.
Mengulas lanjut, Mohd Azmi menegaskan bahawa keseimbangan antara ilmu dan nilai amat penting dalam membina sebuah peradaban yang mampan.
“Ilmu tanpa nilai akan merosakkan, manakala teknologi tanpa panduan akan menyesatkan. Peradaban hanya akan bangkit apabila kedua-duanya disatukan,” katanya. – DETIK MALAYSIA