KUALA LUMPUR – Pembebasan Masjid Al Aqsa tidak dapat dipisahkan daripada usaha membebaskan Palestin daripada pendudukan, penindasan dan dasar apartheid yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Hari Naksah yang diperingati setiap 6 Jun menjadi simbol penderitaan berpanjangan rakyat Palestin susulan Perang Jun 1967 yang menyaksikan pendudukan Baitulmaqdis Timur, Tebing Barat, Semenanjung Gaza, Bukit Golan dan Semenanjung Sinai.
Menurut beliau, pendudukan berterusan ke atas Baitulmaqdis Timur serta pencabulan terhadap kesucian Masjid Al Aqsa kekal sebagai antara isu paling membimbangkan umat Islam dan pencinta keadilan di seluruh dunia.
“Masjid Al Aqsa bukan hanya isu rakyat Palestin. Ia adalah amanah suci bagi seluruh umat Islam. Sebagai kiblat pertama umat Islam dan lokasi peristiwa agung Isra’ dan Mikraj Rasulullah SAW, Al Aqsa mempunyai kedudukan yang amat istimewa dalam hati dan kesedaran umat Islam di seluruh dunia.
“Mapim menegaskan bahawa pembebasan Al Aqsa tidak dapat dipisahkan daripada pembebasan Palestin daripada pendudukan, penindasan dan dasar apartheid. Keamanan yang adil dan berkekalan tidak mungkin dicapai melalui dominasi ketenteraan, hukuman kolektif dan penafian hak nasional rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, masyarakat antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri terhadap pembinaan penempatan haram, rampasan tanah, pemindahan penduduk secara paksa serta serangan sistematik terhadap orang awam Palestin.
Sehubungan itu, beliau menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), negara-negara Islam, organisasi antarabangsa, pertubuhan masyarakat sivil, ulama dan pemimpin agama untuk memperhebatkan usaha diplomatik, kemanusiaan serta advokasi bagi mempertahankan hak rakyat Palestin.
“Sempena Hari Naksah 2026, kita menzahirkan penghormatan kepada generasi rakyat Palestin yang terus teguh mempertahankan tanah air, identiti dan tempat-tempat suci mereka meskipun berdepan penindasan serta penderitaan yang amat berat.
“Mapim akan terus komited menyokong perjuangan Palestin melalui bantuan kemanusiaan, advokasi, penglibatan antarabangsa dan inisiatif solidariti global,” katanya.
Tambah beliau, hasrat rakyat Palestin untuk memperoleh kebebasan, maruah dan keadilan tidak akan dapat dipadamkan, malah pendudukan tidak akan kekal selama-lamanya.
“Al Aqsa mesti dibebaskan. Palestin mesti merdeka,” tegasnya. – DETIK MALAYSIA