JEDDAH – Juara bertahan, Al Ahli Saudi menempah tiket ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elite 2025/26 selepas mencatat kemenangan dramatik 1-0 ke atas wakil Qatar, Al Duhail SC dalam aksi berlanjutan ke masa tambahan di Stadium King Abdullah Sports City, awal pagi tadi.
Seperti dijangka, Al Ahli tampil garang seawal permainan dengan hampir memanfaatkan kesilapan benteng lawan pada minit ke-11, namun percubaan Riyad Mahrez berjaya diselamatkan penjaga gol lawan, Salah Zakaria.
Asakan berterusan tuan rumah menyaksikan Ivan Toney turut menguji kubu Al Duhail menerusi sepakan percuma berbahaya, tetapi sekali lagi Zakaria bertindak cemerlang menafikan jaringan.
Bagaimanapun, Al Duhail hampir mengejutkan lawan pada minit ke-24 apabila sepakan percuma Benjamin Bourigeaud sekadar menggegar tiang gol, sekali gus memberi amaran awal kepada Al Ahli.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan penjaga gol Al Ahli, Edouard Mendy dipaksa bekerja keras menafikan beberapa percubaan berbahaya lawan.
Aksi semakin tegang menjelang penghujung permainan apabila Al Duhail sekali lagi hampir menemui jaringan menerusi rembatan deras Adil Boulbina yang terkena palang, memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.
Drama terus memuncak apabila Al Ahli dihadiahkan sepakan penalti selepas pengadil, Ma Ning, mengesahkan kekasaran Zakaria ke atas Ziyad Al Johani menerusi VAR.
Namun, Zakaria menebus kesilapannya dengan menepis sepakan penalti Toney, sekali gus menghidupkan peluang Al Duhail untuk mencipta kejutan.
Ketika perlawanan seakan menuju penentuan penalti, Mahrez muncul wira apabila meledak sepakan percuma cantik dari jarak 25 ela yang menewaskan Zakaria, sekali gus memastikan kemenangan Al Ahli.
Kejayaan itu menyaksikan Al Ahli terus mengintai peluang mempertahankan kejuaraan, selain mengatur pertembungan getir menentang juara Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat suku akhir nanti. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Al Ahli Saudi