SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa sambutan Hari Pekerja Sedunia 2026 dijadikan platform solidariti antarabangsa bagi menyuarakan isu Palestin serta kesan konflik global terhadap kebajikan rakyat dan pekerja.
Menurut Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, Hari Pekerja bukan sekadar memperjuangkan hak buruh seperti gaji dan kebajikan, sebaliknya perlu menjadi medan menentang penindasan, eksploitasi serta peperangan yang memberi kesan kepada masyarakat dunia.
“Jutaan pekerja kini terkesan secara langsung akibat kenaikan harga minyak, inflasi makanan, gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos sara hidup susulan konflik global,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Pekerja Sedunia.
Beliau turut menegaskan bahawa situasi di Gaza dan konflik melibatkan kuasa besar dunia menunjukkan bagaimana kepentingan industri peperangan mengatasi keselamatan manusia sejagat.
Sehubungan itu, beliau menggariskan beberapa tuntutan utama antaranya menghentikan keganasan di Gaza, menamatkan serangan terhadap Iran, melindungi rakyat daripada kesan ekonomi perang serta menolak militarisasi ekonomi global.
Dalam masa sama, beliau menyeru gerakan pekerja, kesatuan sekerja, NGO dan mahasiswa supaya bersatu sebagai kuasa moral bagi menentang ketidakadilan dan penjajahan moden.
“Jika pekerja dunia bersatu, mereka mampu menjadi benteng besar menentang penindasan. Keadilan sosial tidak akan tercapai selagi kezaliman terhadap rakyat tertindas terus berlaku,” ujarnya.
Mohd Azmi berharap sambutan Hari Pekerja tahun ini menjadi simbol kebangkitan rakyat dalam memperjuangkan keamanan, keadilan serta hak asasi manusia sejagat. – DETIK MALAYSIA