PAROI – Negeri Sembilan FC terus kempunan membalas dendam apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Melaka FC dalam aksi Liga Super Malaysia 2025/26 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, malam tadi.
Turun dengan misi menebus kekalahan 0-2 pada pertemuan terdahulu, skuad Jang tampil lebih agresif sebaik wisel sepak mula, namun ketumpulan penyudah terus menghantui mereka.
Tuan rumah hampir memecah kebuntuan pada minit ke-20 menerusi jaringan Takumi Sasaki, namun gol tersebut dibatalkan selepas pembantu pengadil mengesan kedudukan ofsaid.
Walaupun menguasai sebahagian besar permainan babak pertama, Negeri Sembilan gagal menembusi benteng kental Melaka yang diketuai Irfan Zakaria dan Aroon Kumar.
Sasaki terus menjadi nadi serangan tuan rumah dan hampir menebus kehampaan sebelum rehat, namun percubaannya hasil gerakan Joseph Esso tidak menemui sasaran.
Bersambung babak kedua, Melaka mula meningkatkan tempo permainan dan beberapa kali menguji penjaga gol Muhammad Azri Ghani yang terpaksa bekerja keras memastikan gawang tidak dibolosi.
Detik paling mencemaskan hadir pada minit ke-65 apabila Negeri Sembilan dihadiahkan sepakan penalti selepas A Selvan dijatuhkan dalam kotak penalti. Namun, peluang keemasan itu gagal dimanfaatkan apabila sepakan Esso melambung tinggi, meranapkan harapan penyokong tuan rumah.
Malang terus menimpa skuad Jang apabila percubaan Sasaki pada minit ke-79 sekadar menggegar tiang gol, sekali gus menutup malam penuh kekecewaan buat mereka.
Keputusan seri itu menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata, namun Negeri Sembilan pastinya lebih terkilan selepas gagal memanfaatkan deretan peluang yang dicipta. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – NSFC