ISKANDAR PUTERI – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim, Xisco Muñoz mahu anak buahnya tampil agresif sejak wisel pertama selain mengelak kesilapan mudah ketika melayan kunjungan Buriram United pada aksi separuh akhir pertama Shopee Cup 2025/26.
Pengendali dari Sepanyol itu menegaskan aspek fokus perlu dikekalkan sepanjang permainan kerana kesilapan kecil boleh mengundang padah dalam aksi berintensiti tinggi seperti itu.
“Setiap pemain perlu menunjukkan sikap positif. Kami tidak boleh membiarkan kesilapan mudah berlaku lagi.
“Dari aspek pertahanan, kami perlu kekal fokus dari minit pertama sehingga wisel penamat,” katanya.
Menurut Muñoz, kelebihan beraksi di Stadium Sultan Ibrahim perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan JDT dijangka mengawal tempo permainan di hadapan penyokong sendiri.
“Setiap kali bermain di laman sendiri, kami mahu tampil agresif sejak awal dan memberikan persembahan terbaik.
“Perlawanan ini sangat penting buat kami, jadi kami tidak boleh tercicir,” ujarnya.
Dalam masa sama, Harimau Selatan turut dilihat membawa misi membalas dendam selepas tewas 1-2 kepada Buriram United pada pertemuan terdahulu dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit 2025/26 pada September tahun lalu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST