ISKANDAR PUTERI – Tonggak tengah Kenneth Dougall percaya Buriram United memiliki pengalaman dan mentaliti terbaik untuk menewaskan Johor Darul Ta’zim pada aksi separuh akhir pertama Shopee Cup 2025/26.
Pemain Australia itu berkata, rekod positif Buriram ketika bertemu JDT dalam dua musim terakhir memberi keyakinan tambahan menjelang pertembungan penting tersebut.
“Kami sudah beberapa kali bertemu JDT dalam dua musim lalu dan berjaya menang dua kali. Itu memberi kami keyakinan untuk menghadapi perlawanan ini,” katanya.
Dougall turut menegaskan saingan berprestij seperti Shopee Cup menuntut setiap pemain tampil tenang, lapar memburu kemenangan dan mempunyai matlamat jelas untuk mara ke final.
“Ini adalah kejohanan yang sangat penting. Sasaran kami adalah untuk menang dan mara ke final. Kami mahu memberikan persembahan terbaik,” ujarnya.
Menurutnya lagi, budaya kemenangan yang dimiliki Buriram menjadi antara faktor utama pasukan itu sentiasa dahagakan kejayaan selepas menjulang trofi musim lalu.
“Kami suka menang dan mahu merasai pengalaman itu sekali lagi. Perlawanan seperti ini mampu mengeluarkan aksi terbaik daripada pemain,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – BRUUTD