KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia mengesahkan satu langkah besar ke arah penyiaran sukan yang lebih inklusif apabila menamakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV sebagai platform utama liputan menyeluruh kejohanan Piala Dunia FIFA 2026.
Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Madani untuk memastikan rakyat di seluruh negara dapat menikmati kejohanan bola sepak terbesar dunia itu menerusi kerjasama strategik bersama sektor swasta.
Menurut beliau, peminat bola sepak tempatan bakal menikmati pelbagai pilihan tontonan termasuk siaran percuma menerusi MYTV selain penstriman digital melalui RTMKlik dan Unifi TV.
“Langkah ini memastikan akses lebih meluas kepada rakyat sama ada melalui platform televisyen tradisional mahupun digital,” katanya.
Di bawah perancangan itu, kesemua 104 perlawanan Piala Dunia 2026 akan disiarkan secara langsung menerusi Unifi TV, manakala RTM pula bakal menayangkan sejumlah besar aksi secara langsung serta siaran tertunda bagi memberi fleksibiliti kepada penonton.
Selain siaran perlawanan, RTM turut merancang penerbitan program khas berbentuk ‘grandstand’ dari Angkasapuri Kota Media yang akan disampaikan terutamanya dalam Bahasa Melayu serta beberapa segmen terpilih dalam Bahasa Inggeris.
Perkembangan harian dan sorotan kejohanan turut akan dimuatkan dalam program utama seperti Selamat Pagi Malaysia bagi memastikan peminat terus mengikuti perkembangan semasa kejohanan tersebut.
Dalam usaha memeriahkan lagi suasana Piala Dunia, kerajaan juga merancang penganjuran acara tontonan awam di beberapa lokasi terpilih di seluruh negara bagi menghimpunkan komuniti peminat bola sepak.
Pada masa sama, pihak berkuasa memaklumkan beberapa penaja utama telah dikenal pasti dengan rundingan akhir sedang dijalankan sebelum pengumuman rasmi dibuat dalam masa terdekat.
Bagi peminat yang memilih akses digital, aplikasi RTMKlik yang boleh dimuat turun menerusi Google Play dan Apple App Store turut menjadi platform utama untuk menonton perlawanan serta mengikuti kandungan berkaitan kejohanan secara mudah dan pantas. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Fifa