PETALING JAYA – Penyerang import, Chrigor Moraes muncul wira Selangor FC apabila meledak dua gol untuk membantu Gergasi Merah menewaskan Nam Dinh FC 2-1 pada aksi separuh akhir pertama Shopee Cup 2025/26 di Stadium MBPJ malam tadi.
Skuad kendalian Kim Pan-gon itu menurunkan kesebelasan terbaik diketuai Chrigor, Faisal Halim dan Safuwan Baharudin, manakala wakil Vietnam mempertaruhkan bintang berpengalaman seperti Percy Tau serta Nguyen Xuan Son.
Aksi berlangsung dalam keadaan padang becak akibat hujan, sekali gus menyukarkan kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan sebenar.
Nam Dinh terlebih dahulu hampir membuka jaringan pada minit ke-22 menerusi percubaan Tau, namun penjaga gol Selangor, Sikh Izhan Nazrel bertindak cemerlang menafikan percubaan tersebut.
Selangor akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-37 apabila Chrigor mudah menyempurnakan hantaran tepat Quentin Cheng dari sebelah kanan untuk meletakkan tuan rumah di depan.
Bagaimanapun, pelawat berjaya menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama menerusi jaringan Nguyen Van Vi hasil gerakan Tau untuk memastikan kedudukan terikat 1-1.
Bersambung babak kedua, Nam Dinh terus mengasak dan sekali lagi Tau menguji ketangkasan Sikh Izhan yang tampil tenang menyelamatkan gawang Selangor.
Ketika permainan semakin rancak, Selangor kembali menemui rentak dengan kelincahan Faisal Halim dan kreativiti Hugo Boumous mula memberikan masalah kepada benteng lawan.
Usaha itu membuahkan hasil pada minit ke-58 apabila Chrigor sekali lagi meledak gol selepas menyudahkan satu lagi gerakan menarik yang dimulakan Quentin Cheng untuk menghadiahkan kelebihan 2-1 buat Selangor.
Nam Dinh cuba bangkit memburu gol penyamaan, namun beberapa percubaan termasuk usaha Tau pada minit ke-74 gagal menemui sasaran.
Benteng Selangor yang diketuai Safuwan bersama Quentin Cheng, Zikri Khalili dan Mamadou Diarra turut beraksi cemerlang menyerap tekanan hingga wisel penamat.
Kemenangan tipis itu memberi bekalan penting buat Selangor sebelum aksi timbal balik di Stadium Thien Truong pada 13 Mei ini bagi memburu slot ke pentas final. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Selangor FC