ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) berdepan laluan sukar untuk mara ke final Shopee Cup 2025/26 selepas tewas 1-3 kepada Buriram United pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.
Kekalahan itu menyaksikan juara Thailand tersebut membawa bekalan selesa dua gol menjelang aksi timbal balik di laman sendiri pada 13 Mei ini.
Meskipun bermula garang di hadapan penyokong sendiri, skuad Harimau Selatan gagal memanfaatkan beberapa peluang awal yang dicipta jentera serangan diketuai Jairo da Silva, Marcos Guilherme dan Oscar Arribas.
Sebaliknya, Buriram lebih tajam dalam penyudah apabila berjaya memecah kebuntuan menerusi Guilherme Bissoli pada minit ke-34 untuk meletakkan pelawat di depan.
JDT terus mengasak bagi memburu gol penyamaan, namun benteng Buriram yang diketuai Kenneth Dougall kekal ampuh menyerap tekanan tuan rumah.
Malang buat JDT apabila Buriram menggandakan jaringan sebelum tamat babak pertama hasil penyudah Goran Causic untuk meletakkan pelawat selesa mendahului 2-0.
Bersambung babak kedua, Buriram hampir menambah derita Harimau Selatan menerusi Supachai Chaided, namun jaringan itu dibatalkan selepas beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Pengendali JDT kemudian memasukkan Stuart Wilkin bagi menambah kreativiti di bahagian tengah dan percaturan itu hampir membuahkan hasil pada penghujung permainan.
Ager Aketxe berjaya merapatkan kedudukan menerusi gol pada masa kecederaan minit ke-91 sekali gus menghidupkan kembali harapan tuan rumah.
Bagaimanapun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Bissoli sekali lagi menghukum kelalaian benteng JDT dengan jaringan kedua peribadi pada minit ke-93 untuk memastikan Buriram pulang dengan kemenangan 3-1.
Keputusan itu menyaksikan JDT wajib mencipta kebangkitan di Thailand minggu depan sekiranya mahu meneruskan impian layak ke pentas final. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST