KUALA LUMPUR – Seorang penyanyi wanita mendakwa hidup dalam ketakutan selepas menjadi mangsa sindiket pinjaman wang tidak berlesen yang dipercayai memperdayakannya menerusi aplikasi WhatsApp sejak April lalu.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Yee, 39, berkata, dia pada awalnya mahu membuat pinjaman bagi tujuan perniagaan sebelum dihubungi individu yang mendakwa mewakili syarikat pemberi pinjaman wang berlesen.
Menurutnya, dia bersetuju membuat empat pinjaman berjumlah RM45,000, namun hanya menerima RM17,800 daripada keseluruhan jumlah tersebut.
“Saya mula rasa seperti ditipu, tetapi saya teruskan juga sebab perlukan wang segera selain sudah beri maklumat peribadi kepada mereka,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.
Katanya, bermula Mei lalu, pihak terbabit mula menuntut kadar faedah serta bayaran yang tidak munasabah walaupun dia sudah membuat bayaran mengikut tempoh ditetapkan.
“Saya mahu selesaikan pinjaman itu supaya masalah ini tidak berpanjangan, tetapi mereka masih tuntut bayaran tinggi,” ujarnya.
Menurut Yee, walaupun hanya menerima RM17,800 dan sudah membuat bayaran semula sebanyak RM20,300, sindiket itu masih menuntut RM49,400 sebagai bayaran penyelesaian bagi tiga pinjaman.
Katanya, baki satu lagi pinjaman pula tidak dinyatakan secara jelas oleh pihak terbabit.
Yee turut mendakwa seorang suspek dikenali sebagai Vic mengugutnya selepas dia membuat dua pinjaman berjumlah RM10,000 tetapi hanya menerima RM4,000.
“Saya sudah bayar RM1,700 tetapi dia masih minta RM23,000 sebagai bayaran penuh,” katanya.
Tambahnya, dia juga menerima ugutan termasuk mahu menyebarkan maklumat peribadi di media sosial, mencemarkan reputasi kerjayanya selain ancaman menculik, menyimbah cat, mencederakan ahli keluarga dan membakar rumahnya.
Susulan itu, Yee mendapatkan bantuan Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Michael Chong sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam pada 6 Mei lalu. – DETIK MALAYSIA