ISKANDAR PUTERI – Pengerusi Buriram United, Newin Chidchob menyifatkan hubungan antara kelab itu dan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai seteru dan rakan kongsi dalam usaha memartabatkan bola sepak Asia Tenggara ke peringkat lebih tinggi.
Kenyataan itu dibuat selepas Buriram United melakar kemenangan 3-1 ke atas JDT pada aksi separuh akhir pertama ASEAN Club Championship di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.
Newin turut merakamkan penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor yang juga pemilik JDT, Tunku Ismail Idris serta penyokong Harimau Selatan atas layanan dan atmosfera hebat sepanjang perlawanan berlangsung.
“Seteru dan rakan kongsi. Terima kasih kepada Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim dan penyokong Johor yang hadir mencipta suasana cukup luar biasa dan penuh kenangan buat kami,” katanya.
Menurut beliau, Buriram United dan JDT perlu terus bekerjasama bagi memastikan kelab-kelab Asia Tenggara mampu bersaing dengan gergasi benua dalam saingan AFC Champions League Elite.
“Kami perlu bersama-sama memastikan kelab Asia memandang serius kekuatan bola sepak ASEAN dan tidak lagi memperlekehkannya.
“Kami juga perlu menarik lebih ramai pemain berkualiti dunia untuk beraksi di liga-liga ASEAN demi meningkatkan standard bola sepak rantau ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, Newin turut menjemput JDT bersama penyokong mereka hadir ke Chang Arena bagi aksi timbal balik pada 13 Mei ini.
“Saya sebagai pengerusi Buriram United dan rakyat Buriram mengalu-alukan kehadiran Tunku Ismail, JDT serta semua penyokong Johor ke Buriram.
“Kami berharap semua pihak akan menikmati pengalaman yang indah sepanjang berada di Buriram,” katanya.
Beliau percaya persaingan antara kedua-dua kelab itu mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan bola sepak Asia Tenggara dan membantu rantau ini mendapat lebih pengiktirafan di pentas antarabangsa. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – BRUUTD