KUALA LUMPUR – Hari ini bukan sekadar tarikh biasa buat landskap penguatkuasaan negara apabila 12 Mei menjadi detik terakhir Tan Sri Azam Baki secara rasmi memegang amanah sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sepanjang menerajui SPRM, beliau dikenali sebagai figura tegas dalam memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang menjadi ancaman kepada negara.
Di sebalik ketegasan itu, tidak ramai mengetahui tekanan serta pengorbanan besar yang terpaksa dipikul sepanjang berada di barisan hadapan institusi antirasuah negara. Kritikan, tohmahan dan pelbagai tekanan menjadi sebahagian daripada cabaran yang perlu ditempuh.
Namun, Azam terus berdiri teguh meneruskan tanggungjawab yang diamanahkan.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas jasa serta keberanian Azam sepanjang menerajui SPRM.
“Bagi kami, Tan Sri bukan sekadar seorang Ketua Pesuruhjaya, tetapi simbol keberanian institusi, ketegasan prinsip dan semangat melawan rasuah tanpa gentar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, segala jasa dan pengorbanan Azam kepada negara diharap menjadi amal jariah yang terus dikenang rakyat Malaysia.
Dalam masa sama, MCW turut mengucapkan selamat hari lahir kepada Azam Baki dan mendoakan agar beliau dikurniakan kesihatan yang baik, ketenangan jiwa serta perlindungan buat keluarga.
“Semoga terbuka lembaran perjuangan baharu yang lebih bermakna selepas ini.
“Jasa Tan Sri tidak akan Malaysia lupakan,” katanya.
“Once a fighter against corruption, forever a patriot for the nation.” – DETIK MALAYSIA