PUTRAJAYA – Datuk Seri Abd Halim Aman hari ini secara rasmi melapor diri dan memulakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau menggantikan Tan Sri Azam Baki selepas menerima surat pelantikan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bertarikh 25 April lalu.
Menurut SPRM, pelantikan tersebut diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 [Akta 694].
Abd Halim dilantik bagi tempoh kontrak selama dua tahun bermula hari ini sehingga 12 Mei 2028.
“Seluruh warga SPRM merakamkan ucapan tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada beliau dalam menerajui usaha memperkukuh integriti, tadbir urus serta agenda pembanterasan rasuah negara,” menurut kenyataan SPRM hari ini.
Beliau dijangka memikul tanggungjawab besar dalam memperkasakan usaha membanteras rasuah selain memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi penguat kuasa negara. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SPRM