KUALA LUMPUR – Pendekatan menangani masalah kesihatan mental tidak boleh lagi bergantung kepada aspek materialistik semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan dimensi spiritual serta hubungan manusia dengan Allah SWT.
Perkara itu antara penegasan utama dalam Persidangan Kebangsaan Psikologi Muslim Malaysia (PKPMM 2026) anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang berlangsung di Premiera Hotel hari ini.
Persidangan bertemakan “Mengembalikan Jiwa kepada Fitrah: Integrasi Wahyu dalam Sains Psikologi” itu menghimpunkan ahli akademik daripada beberapa universiti tempatan, pengamal psikologi dan kaunseling, pendakwah serta pelajar pascasiswazah.
Ucapan dasar disampaikan oleh Dr. Rahmattullah Khan Abdul Wahab Khan manakala pembentangan utama dikendalikan Dr. Abdul Rahman Ahmad sebelum persidangan ditutup Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid.
Menurut peserta, integrasi wahyu dalam bidang psikologi bukan bertujuan menolak sains moden, tetapi memperkayakan pendekatan sedia ada supaya lebih seimbang, holistik dan berteraskan tauhid.
Antara perkara utama dibincangkan termasuk keperluan membangunkan epistemologi Psikologi Islam yang lebih tersusun dan ilmiah selain memahami manusia menerusi konsep nafs, qalb, ‘aql, ruh dan fitrah.
Selain itu, persidangan turut menyentuh pembangunan model psikoterapi berasaskan al-Quran dan nilai spiritual serta kepentingan garis panduan etika bagi mengelakkan pseudopsikologi yang menggunakan istilah agama tanpa disiplin ilmu dan standard profesional yang sah.
Peserta juga mencadangkan pembentukan jaringan nasional sarjana dan pengamal Psikologi Muslim Malaysia selain pembangunan kurikulum Psikologi Islam untuk institusi pengajian tinggi.
Mapim berharap persidangan tersebut menjadi titik permulaan kepada agenda penyelidikan, pendidikan dan pembangunan amalan psikologi yang lebih beretika, saintifik serta berpaksikan kesejahteraan insan secara menyeluruh. – DETIK MALAYSIA