KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyatakan solidariti bersama rakyat Pakistan sempena ulang tahun pertama Youm-e-Marka-e-Haq dan kejayaan Operasi Bunyan-un-Marsoos yang disifatkan sebagai simbol mempertahankan kedaulatan serta keamanan sejagat.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, operasi yang berlangsung pada Mei tahun lalu itu menjadi titik penting dalam sejarah moden apabila prinsip integriti wilayah dan hak mempertahankan diri ditegakkan secara tegas.
Menurut beliau, operasi berkenaan yang dinamakan sempena konsep “binaan kukuh” dalam al-Quran merupakan tindak balas perlu dan seimbang terhadap pencerobohan luar yang tidak diprovokasi.
“Operasi itu membuktikan bahawa usaha mencapai keamanan bukan tanda kelemahan, sebaliknya memerlukan kekuatan bagi menghalang pencabulan undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kejayaan operasi tersebut bukan sahaja dari sudut strategi ketenteraan, malah dianggap kemenangan moral bagi menegakkan keadilan dan kebenaran.
Katanya, operasi itu memperlihatkan kesatuan antara kepimpinan negara, angkatan tentera dan rakyat dalam menghadapi ancaman terhadap keselamatan negara.
Dalam pada itu, Mohd Azmi turut menegaskan bahawa penghormatan terhadap kedaulatan sesebuah negara serta keselamatan orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak perlu dipertahankan.
“Peristiwa tahun lalu turut membuktikan tindakan tegas mampu membuka ruang kepada gencatan senjata dan kestabilan jangka panjang,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohd Azmi menyeru masyarakat antarabangsa terus menyokong keluarga mangsa yang terkorban selain memperkukuh keupayaan pertahanan negara-negara Islam demi keselamatan ummah.
Mapim pada masa sama menegaskan keamanan berkekalan hanya boleh dicapai menerusi penyelesaian adil terhadap pertikaian wilayah berdasarkan mandat antarabangsa dan kehendak rakyat.
“Mapim akan terus menyokong hak sah sesebuah negara untuk mempertahankan diri serta memperjuangkan dunia yang berteraskan keadilan dan kedaulatan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI