BAGAN SERAI – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semanggol, Allahyarham Datuk Abd Muhaimin Abd Rahman Nazri meninggal dunia hari ini.
Berita pemergian Allahyarham turut dikongsikan menerusi hantaran media sosial rasmi UMNO Perak yang menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga.
Allahyarham juga pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai selain Ketua Pemuda UMNO Bahagian berkenaan.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut hantaran tersebut.
Orang ramai turut menzahirkan ucapan takziah dan mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan ketabahan menghadapi ujian itu. – DETIK MALAYSIA