BURIRAM – Impian Johor Darul Ta’zim untuk melangkah ke pentas final Shopee Cup 2025/26 akhirnya berkecai apabila tewas secara agregat 3-4 kepada Buriram United dalam aksi separuh akhir kedua yang berlangsung dramatik di Stadium Buriram, malam tadi.
Walaupun berjaya mencatat kemenangan 2-0 dalam tempoh 90 minit permainan, skuad Harimau Selatan terpaksa akur selepas jaringan tambahan masa Buriram memastikan wakil Thailand itu mara ke final.
Ketinggalan 1-3 secara agregat sebelum sepak mula, JDT tampil agresif sejak awal permainan dengan asakan berterusan ke kubu lawan. Bergson da Silva hampir meletakkan pelawat di depan pada minit ke-28, namun rembatan derasnya berjaya diselamatkan penjaga gol Buriram, Neil Etheridge.
JDT akhirnya meraih gol pertama menjelang tamat babak pertama selepas Marcos Guilherme dijatuhkan dalam kotak penalti. Bergson tidak berdepan masalah menyempurnakan sepakan penalti untuk merapatkan kedudukan agregat.
Bersambung babak kedua, skuad kendalian Xisco Munoz terus menggandakan tekanan sebelum Marcos Guilherme meledak gol kedua pada minit ke-61 untuk mengikat agregat 3-3.
Bagaimanapun, Buriram bangkit mengancam menerusi beberapa percubaan berbahaya, namun penjaga gol JDT, Syihan Hazmi tampil cemerlang dengan beberapa aksi menyelamat penting untuk mengheret permainan ke masa tambahan.
Drama sebenar tercetus pada minit ke-98 apabila Kingsley Schindler meledak gol buat Buriram sekali gus mengembalikan kelebihan agregat kepada tuan rumah.
Situasi semakin tegang apabila Buriram terpaksa beraksi dengan sembilan pemain selepas Guilherme Bissoli dan Goran Causic masing-masing dilayangkan kad merah dalam masa tambahan.
Namun, kelebihan jumlah pemain gagal dimanfaatkan JDT yang buntu mencari gol penyamaan sehingga wisel penamat dibunyikan.
Kemenangan dramatik itu menyaksikan Buriram United menempah slot ke final untuk bertemu Selangor FC yang terlebih dahulu menyingkirkan Nam Dinh FC dalam satu lagi aksi separuh akhir. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST