KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan berlaku banjir kilat di hadapan pintu masuk Universiti Malaya (UM) seperti yang tular menerusi sebuah video di aplikasi TikTok oleh pengguna akaun bernama AnokKelateBarat47.
DBKL dalam kenyataannya berkata, hasil pemeriksaan segera oleh Skuad Penyelamat DBKL mengesahkan tiada sebarang insiden banjir kilat berlaku di kawasan berkenaan dan dakwaan tersebut adalah palsu.
“DBKL amat kesal dengan penularan dakwaan tidak benar ini kerana ia berpotensi menimbulkan keresahan masyarakat serta mencemarkan usaha pihak berkuasa dalam memastikan kesejahteraan warga kota,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut DBKL, pihaknya sentiasa peka dalam memantau keadaan cuaca serta melaksanakan langkah mitigasi banjir di seluruh ibu kota demi melindungi keselamatan awam dan menjaga imej Kuala Lumpur sebagai bandar raya terurus.
DBKL turut menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati sebelum berkongsi maklumat yang tidak sahih supaya tidak menimbulkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - DBKL
