KUALA LUMPUR – Terengganu bakal menjadi tumpuan peserta antarabangsa menerusi penganjuran program Pacific Asia Olympiad Championship and Sustainable Tourism Workshop 2026 yang dijadual berlangsung pada 7 hingga 10 September depan di negeri itu.
Program berkonsepkan edu-pelancongan tersebut dibincangkan dalam satu mesyuarat khas melibatkan Exco Pacific Asia Travel Association (PATA) Malaysia Chapter bersama Koperasi Homestay Teluk Ketapang Terengganu Berhad (KHTK) di Tourism Malaysia Central Region, MaTiC Kuala Lumpur pada 12 Mei lalu.
Mesyuarat itu dipengerusikan Pengerusi PATA Malaysia Chapter merangkap Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia (Promosi), Datuk Musa Yusof.
Turut hadir, wakil Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Tengah, Norhuda Dini Mohd. Nasir.

Antara acara yang bakal dipertandingkan ialah Mathematics and English Proficiency Test, ujian Biologi, pengucapan awam serta hafazan al-Quran bagi juzuk 1 hingga 20.
Pengurusan soalan dan barisan juri akan dikendalikan oleh Pusat Asasi Sains Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Selain pertandingan akademik, program itu turut menampilkan Sustainable Tourism Workshop yang diuruskan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan (FTKK) UMT bersama Politeknik Hulu Terengganu.
Mesyuarat turut bersetuju untuk menghantar jemputan kepada negara ASEAN dan Asia Pasifik bagi menyertai program berkenaan dalam kategori Senior High School.
Antara negara yang dijangka mengambil bahagian ialah Korea Selatan, Jepun, China, Taiwan, Nepal, Pakistan, India, Sri Lanka, Maldives, Bangladesh, Singapura, Brunei, Kemboja, Indonesia serta Selatan Thailand.
Program kolaborasi edu-pelancongan itu melibatkan kerjasama KHTK, KPIBKS Terengganu dan PATA Malaysia Chapter bersama beberapa agensi termasuk Education Malaysia Global Services (EMGS), UMT, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, Tourism Malaysia Wilayah Timur serta Politeknik Hulu Terengganu.
Program berkenaan dijangka dirasmikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya di UMT, manakala majlis penutup serta penyampaian pingat dan sijil penghargaan akan disempurnakan Naib Canselor UMT.
Dalam masa sama, seramai 400 kontinjen luar negara akan ditempatkan di Homestay dan Kampung Stay Teluk Ketapang sepanjang program berlangsung. – DETIK MALAYSIA