RIYADH – Kelab Jepun, Gamba Osaka mencipta sejarah tersendiri apabila menewaskan Al Nassr 1-0 pada aksi final Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL Two) 2025/26 di Stadium Universiti Raja Saud, awal pagi tadi.
Jaringan tunggal penyerang Sweden, Deniz Hummet pada babak pertama sudah cukup untuk menghadiahkan trofi benua pertama buat Gamba Osaka sejak kali terakhir menjulang Liga Juara-Juara Asia pada 2008.
Kemenangan itu hadir dalam suasana penuh tekanan apabila wakil Jepun tersebut terpaksa berdepan sorakan padu penyokong tuan rumah selain dibarisi pemain bertaraf dunia milik Al Nassr.
Pasukan kendalian Jorge Jesus bermula garang dengan menguasai sebahagian besar permainan menerusi kelincahan Cristiano Ronaldo, Sadio Mane dan Joao Felix.
Malah, Mane hampir membuka jaringan seawal minit kelapan selepas melakukan hantaran kemas kepada Abdulrahman Ghareeb, namun percubaannya mudah diselamatkan penjaga gol muda Gamba Osaka, Rui Araki.
Walaupun banyak bertahan, Gamba Osaka mengejutkan penyokong tuan rumah pada minit ke-30 apabila Hummet tenang menyudahkan peluang hasil lorongan bijak Issam Jebali untuk menewaskan penjaga gol Al Nassr.
Tersentak dengan gol tersebut, Al Nassr menggandakan asakan, namun benteng pertahanan Gamba Osaka yang diketuai Genta Miura kekal ampuh menyerap segala tekanan.
Pada separuh masa kedua, Al Nassr terus menguasai permainan dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-77 menerusi rembatan deras Felix, namun bola sekadar menggegarkan tiang gol.
Beberapa minit kemudian, Mohamed Simakan turut mensia-siakan peluang terbaik apabila tandukannya tepat ke dakapan Rui Araki.
Ronaldo juga gagal mencipta impak pada penghujung perlawanan apabila Gamba Osaka terus bertahan dengan disiplin tinggi sebelum wisel penamat menyaksikan pemain dan penyokong kelab Jepun itu meraikan kejayaan penuh bersejarah.
Kekalahan tersebut menyaksikan penantian Al Nassr untuk menjulang kejuaraan Asia terus berpanjangan meskipun dibarisi ramai pemain bintang bertaraf dunia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AFC