SHAH ALAM – Sebarang gencatan senjata atau perjanjian damai di Gaza tidak akan membawa keamanan sebenar selagi keadilan dan akauntabiliti gagal ditegakkan.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, krisis kemanusiaan yang terus meruncing di Gaza selain limpahan keganasan ke Lubnan membuktikan dunia kini menyaksikan jenayah perang berlaku secara nyata.
Menurut beliau, tindakan rejim Zionis Israel yang didakwa mendapat sokongan Amerika Syarikat (AS) terus melancarkan serangan ke atas orang awam walaupun ketika gencatan senjata dipersetujui menunjukkan keamanan bukan lagi menjadi pilihan mereka.
“Dunia sedang menyaksikan jenayah perang berlaku secara langsung. Rejim AS dan Zionis Israel hanya mempunyai satu matlamat iaitu melumpuhkan penentangan melalui serangan ketenteraan terhadap keseluruhan populasi.
“Penentangan terhadap pencerobohan adalah hak mempertahankan diri mengikut undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebarang usaha untuk memperkenalkan ‘gencatan senjata’ atau ‘perjanjian damai’ tanpa menghapuskan struktur keganasan, penjajahan dan kekebalan undang-undang hanya akan mencetuskan lebih banyak pertumpahan darah.
Katanya, keamanan berkekalan hanya dapat dicapai sekiranya keadilan diletakkan sebagai asas utama selain perlindungan terhadap nyawa manusia tanpa pengecualian.
MAPIM turut menggesa masyarakat antarabangsa menghentikan sokongan AS terhadap Israel selain mendesak pelaksanaan waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berhubung dakwaan jenayah perang di Gaza.
Selain itu, badan bukan kerajaan itu turut menuntut perlindungan segera terhadap orang awam di Gaza dan Lubnan, akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan serta proses politik berasaskan undang-undang antarabangsa dan maruah kemanusiaan.
“Gencatan senjata tanpa keadilan bukan keamanan. Kekebalan tidak boleh menjadi asas kestabilan. Maruah manusia mesti menjadi perkara yang tidak boleh dirunding,” katanya. – DETIK MALAYSIA