Aksi perebutan bola di antara kedua-dua pasukan di mana pasukan tuan rumah, Terengganu(jersi hitam putih) berjaya menafikan Kelantan berkeputusan 45-43 bagi saingan peringkat kumpulan minggu kedua kejuaraan ragbi Piala Agong edisi ke-42 bertemu Kelantan yang telah berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu pada 16 Mei 2026.
KUALA TERENGGANU – Sorakan penyokong tuan rumah akhirnya terbalas apabila Terengganu menutup aksi penuh mendebarkan dengan kemenangan tipis 45-43 ke atas Kelantan dalam saingan kedua kumpulan Kejuaraan Ragbi Piala Agong edisi ke-42 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, di sini, kelmarin.
Terdahulu, perlawanan dimulakan dengan suasana penuh emosi apabila kedua-dua pasukan bersama penyokong bertafakur selama seminit bagi mengenang pemergian pemain Kelantan, Allahyarham Mohamad Khairul Abdillah Ramli atau Myko, yang meninggal dunia pada 10 Mei lalu sehari selepas aksi pembukaan.

Sebaik aksi bermula, Kelantan yang hadir dengan reputasi besar setelah menewaskan juara bertahan, PDRM pada minggu lalu terus memberi tekanan menerusi jatuhan try oleh Mohamad Shah Izwan Nordin seawal minit pertama, sebelum Muhammad Nafis Mohd Salleh menambah conversion untuk meletakkan pelawat di depan 7-0.
Terengganu cuba bangkit dengan 3 mata pertama melalui sepakan penalti Muhammad Faizal Md Tahir dan kemudian menambah 10 mata lagi untuk merapatkan jurang, namun Kelantan kekal konsisten di hadapan dengan tiga lagi try berserta conversion bagi menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan 28-13.

Bersambung babak kedua, rentak permainan berubah apabila skuad tuan rumah tampil lebih tersusun dan agresif. Usaha berterusan itu membuahkan hasil apabila mereka berjaya memintas kedudukan 39-36 pada minit ke-63.
Kelebihan tersebut terus diperkukuh menerusi sepakan penalti selepas Kelantan terpaksa beraksi dengan kekurangan pemain susulan kad kuning ke atas Ratu Etuate Veidreyaki, menjadikan kedudukan 42-36 memihak kepada pasukan tuan rumah.
Namun, Kelantan belum mengibarkan bendera putih apabila kembali merampas kedudukan 43-42 hasil satu try dan conversion ketika perlawanan memasuki fasa kritikal.
Dalam tekanan tinggi di penghujung aksi, ketenangan Mohamad Nasharuddin Ismail menjadi penentu apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti penting untuk meletakkan semula Terengganu di hadapan 45-43.
Tuan rumah kemudian memperlahankan tempo dan mengawal penguasaan bola dengan disiplin tinggi bagi memastikan Kelantan tidak berpeluang mencipta kejutan, sekali gus mengesahkan kemenangan hingga wisel penamat.
Keputusan itu memberi suntikan moral buat Terengganu menjelang pertemuan menentang juara bertahan PDRM pada 30 Mei di PULAPOL, Kuala Lumpur, manakala Kelantan bakal meneruskan cabaran berdepan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di UPM, Serdang hujung minggu depan.