SAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengecam tindakan berterusan Israel yang didakwa melancarkan serangan dan pembunuhan besar-besaran di Lubnan tanpa sebarang akauntabiliti antarabangsa yang berkesan.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, dunia sekali lagi menyaksikan serangan terhadap orang awam, kemusnahan kediaman serta infrastruktur, selain perpindahan paksa komuniti yang disifatkan melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Menurut beliau, sikap berdiam diri dan kegagalan negara-negara berkuasa serta institusi antarabangsa mengambil tindakan tegas hanya menggalakkan Israel meneruskan pencerobohan ketenteraan tanpa rasa takut terhadap sebarang akibat.
“Corak kekebalan ini sebelum ini telah memusnahkan Gaza dan kini semakin merebak ke seluruh rantau berkenaan sehingga mengancam kestabilan serta mencetuskan bencana kemanusiaan lebih besar.
“Serangan berulang terhadap orang awam di Lubnan tidak boleh dijustifikasikan atas apa juga alasan. Hukuman kolektif dan pencerobohan ketenteraan terhadap penduduk awam merupakan pelanggaran serius hak asasi manusia serta konvensyen antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Mapim turut menggesa United Nations (PBB), Organisation of Islamic Cooperation (OIC), komuniti antarabangsa dan pertubuhan kemanusiaan segera bertindak menghentikan agresi Israel di Lubnan.
Katanya, tindakan segera termasuk gencatan senjata, akses bantuan kemanusiaan, siasatan jenayah perang dan membawa pemimpin Israel ke muka pengadilan antarabangsa perlu dilaksanakan segera.
“Keamanan tidak akan tercapai melalui penjajahan, pencerobohan dan keganasan ketenteraan.
“Rakyat Lubnan, Palestin dan seluruh rantau berhak mendapat keselamatan, maruah, keadilan serta bebas daripada keganasan dan penjajahan berterusan,” ujarnya. – DETIK MALAYSIA