BURIRAM – Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon percaya pasukannya memiliki kemampuan untuk bangkit daripada defisit aksi pertama menentang Buriram United dan menjulang trofi Shopee Cup 2025/26 meskipun tanpa dua tonggak utama Jordan.
Gergasi Merah itu akan turun pada aksi kedua penentuan di Stadium Buriram malam esok dengan misi memburu kemenangan selepas tewas 0-1 hasil jaringan separuh masa pertama Suphanat Mueanta di Petaling Jaya minggu lalu.
Walaupun berdepan kekalahan dalam aksi pertama, Kim tetap optimis Selangor mampu mencipta kebangkitan di gelanggang lawan sekali gus menamatkan musim dengan trofi kejuaraan.
“Ia perlawanan yang sukar dalam aksi pertama. Prestasi kami juga tidak mencapai tahap 100 peratus dan selepas perlawanan itu kami menilai semula persembahan pasukan.
“Kami banyak berbincang untuk memperbaiki beberapa perkara dan merangka pelan baharu bagi perlawanan ini. Semuanya berada dalam keadaan baik ketika ini dan saya percaya pemain penuh keyakinan untuk mengubah keputusan dan meraih kejuaraan esok,” katanya.
Namun, Selangor terpaksa beraksi tanpa dua pemain Jordan, Noor Al-Rawabdeh dan Mohammad Abualnadi yang telah menyertai kem latihan skuad kebangsaan Jordan menjelang Piala Dunia FIFA.
Kedua-dua pemain itu merupakan antara tonggak penting Selangor sepanjang kempen Shopee Cup terutama di bahagian tengah dan pertahanan.
Bagaimanapun, Kim menegaskan Selangor tidak bergantung kepada individu tertentu semata-mata.
“Saya fikir mereka berdua pemain yang sangat penting buat kami, tetapi saya percaya pemain lain juga sudah bersedia dan mempunyai kualiti.
“Selangor tidak bergantung kepada seorang atau dua pemain sahaja. Kami bermain sebagai satu pasukan, jadi saya tidak fikir kehilangan mereka akan memberi kesan besar terhadap perlawanan esok,” jelasnya.
Menyedari kekuatan Buriram di laman sendiri, pengendali dari Korea Selatan itu menegaskan kepentingan mendapatkan gol awal bagi mengubah momentum perlawanan dan meredakan sorakan penyokong tuan rumah.
Menurutnya, Selangor perlu tampil agresif kerana jaringan awal mampu menjadi faktor penentu dalam usaha memburu trofi.
“Perkara paling penting ialah secepat mana kami boleh menyamakan kedudukan.
“Jika mereka menjaringkan gol terlebih dahulu, mereka akan bertahan sepenuhnya dan ia akan menjadi sangat sukar buat kami.
“Dalam perlawanan esok (malam ini), jaringan awal amat penting dan saya fikir aksi itu akan menjadi sangat menarik,” katanya. – DETIK MALAYSIA