KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) sepakat menyerahkan isu kontroversi yang tercetus ketika perlawanan antara Thailand dan Malaysia pada Piala Dunia Sepak Takraw 2026 kepada proses semakan rasmi mengikut peraturan ditetapkan.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, kedua-dua badan itu mengakui insiden yang berlaku dalam Perlawanan No. 69 acara Berpasukan Regu di Kuala Lumpur telah mencetuskan pelbagai perbincangan, pandangan dan laporan media.
Menurut kenyataan tersebut, walaupun terdapat perbezaan pandangan berhubung insiden berkenaan, perkara itu perlu ditangani menerusi proses yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan, Undang-Undang Permainan, Peraturan Pertandingan dan Prosedur Tatatertib ISTAF.
Presiden TAT, Thana Chaiprasit menegaskan persatuannya menghormati sepenuhnya peranan ISTAF sebagai badan induk sepak takraw dunia dan mengiktiraf kuasanya untuk menilai serta membuat keputusan terhadap sebarang perkara yang timbul dalam kejohanan yang diselia badan itu.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap kebebasan, profesionalisme dan integriti proses semakan yang dijalankan ISTAF.
“TAT percaya penilaian akan dilakukan secara adil, objektif dan bebas daripada pengaruh politik, tekanan luar atau campur tangan tidak wajar daripada mana-mana pihak.
“Semua fakta, laporan, bukti dan representasi berkaitan akan dipertimbangkan mengikut prinsip keadilan asasi sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader menegaskan badan induk itu komited memastikan semua perkara dinilai secara bebas dan telus.
Menurut beliau, ISTAF akan terus melindungi integriti sukan itu, menjaga kepentingan semua ahli gabungan serta memastikan setiap pihak diberi peluang yang adil untuk didengar.
Kedua-dua organisasi turut menyeru semua pihak berkepentingan termasuk pegawai, atlet, penyokong dan media supaya tidak membuat spekulasi atau kesimpulan pramatang sementara proses semakan masih berjalan.
“Adalah penting integriti proses ini dihormati dan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan atau salah faham dalam komuniti sepak takraw antarabangsa dielakkan,” menurut kenyataan itu.
Dalam usaha memperkukuh ketelusan dan keyakinan terhadap proses berkenaan, Abdul Halim memaklumkan isu tersebut akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Eksekutif ISTAF dalam mesyuarat yang dijadualkan berlangsung hari ini.
Langkah itu bertujuan memastikan jawatankuasa berkenaan dimaklumkan sepenuhnya mengenai fakta dan perkembangan terkini sebelum sebarang tindakan susulan diambil mengikut prosedur, prinsip tadbir urus dan peraturan persekutuan.
Kedua-dua pihak menegaskan komitmen mereka untuk terus memupuk pertumbuhan, perpaduan dan pembangunan sukan sepak takraw demi kepentingan semua pihak yang terlibat. – DETIK MALAYSIA