SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menegaskan bahawa naratif ‘Tanah Dijanjikan’ yang sering dikaitkan dengan konflik Palestin-Israel perlu ditafsirkan secara jujur, berasaskan konteks sejarah serta menghormati kerangka teologi setiap agama.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, penyalahgunaan naratif keagamaan untuk menghalalkan tuntutan politik atau peluasan wilayah berisiko memburukkan konflik serta menjejaskan usaha persefahaman antara agama.
Menurut beliau, dalam tradisi Yahudi, konsep tersebut dikaitkan dengan perjanjian antara Tuhan dan Nabi Ibrahim serta keturunannya, namun tafsirannya tidak bersifat tunggal kerana wujud pelbagai pandangan termasuk berkaitan Zionisme dan kenegaraan.
“Dalam tradisi Kristian pula, konsep Tanah Dijanjikan lazimnya ditafsirkan sebagai pemenuhan rohani melalui Perjanjian Baharu dengan penekanan kepada Kerajaan Tuhan berbanding hak wilayah secara geografi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Islam mengiktiraf sejarah Bani Israel dan kaitannya dengan tanah tertentu, namun konsep pemilikan tidak dianggap sebagai hak mutlak berdasarkan keturunan semata-mata.
“Dalam Islam, tanah merupakan amanah yang terikat dengan keadilan, tanggungjawab moral dan ketaatan kepada panduan Ilahi.
“Keberkatan dan hak tidak boleh dipisahkan daripada prinsip keadilan serta akhlak,” jelasnya.
Tambah beliau, tafsiran yang salah atau penggunaan terpilih terhadap naratif agama boleh mencetuskan konflik ideologi, mengukuhkan pertikaian wilayah, meningkatkan polarisasi agama dan menjejaskan peluang mencapai keamanan yang berkekalan.
Sehubungan itu, beliau menggariskan beberapa prinsip utama termasuk memastikan teks agama ditafsir mengikut konteks sejarah dan teologi, mengelakkan politisasi kitab suci, mengutamakan keadilan sejagat serta menghormati perbezaan pandangan antara agama.
Mohd. Azmi berkata, perlindungan orang awam dan keadilan kemanusiaan perlu menjadi keutamaan mengatasi tuntutan ideologi atau wilayah.
“Keamanan tidak boleh dibina atas tafsiran agama yang dipilih secara selektif, sebaliknya mesti berasaskan keadilan, maruah manusia dan belas ihsan sejagat.
“Naratif agama seharusnya membimbing moraliti, bukannya dijadikan alasan untuk menghalalkan dominasi,” katanya. – DETIK MALAYSIA