KOTA BHARU – Sekumpulan bekas pemain era kegemilangan Kelantan muncul dengan misi mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri itu apabila merancang mengambil alih 80 peratus pegangan saham Kelantan WTS FC.
Langkah tersebut dijangka menyaksikan kelab berkenaan dijenamakan semula sebagai Kelantan City FC, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha membangunkan semula bola sepak Kelantan.
Pengumuman itu dibuat dalam satu sidang akhbar yang turut dihadiri beberapa legenda The Red Warriors (TRW) termasuk Mohd Badhri Mohd Radzi, Zairul Fitree Ishak, Nor Farhan Muhamad, Mohd Daudsu Jamaluddin dan Mohd Farisham Ismail.
Inisiatif itu dilihat sebagai usaha strategik untuk membentuk struktur pengurusan lebih mampan dengan penekanan kepada pembangunan akar umbi sehingga ke peringkat profesional.
Penjenamaan semula kepada Kelantan City FC juga bertujuan mewujudkan identiti baharu tanpa melupakan legasi bola sepak Kelantan yang pernah digeruni di pentas nasional.
Kelantan WTS FC menamatkan saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2025/26 di tangga ketujuh, namun kumpulan pelabur baharu yakin kelab itu mempunyai asas kukuh untuk kembali menjadi pencabar utama.
Usaha kebangkitan semula itu turut dikaitkan dengan penglibatan Tan Sri Annuar Musa yang dianggap antara individu penting di sebalik era kegemilangan Kelantan sekitar awal 2010-an.
Presiden Kelantan WTS FC, Wan Mohd Ridhuan Abdullah berkata, keputusan melepaskan pegangan majoriti dibuat selepas menilai kredibiliti, komitmen dan pengalaman dimiliki bekas pemain TRW tersebut.
Menurutnya, semangat serta kecintaan mereka terhadap bola sepak Kelantan menjadi faktor utama yang meyakinkannya untuk menyerahkan tanggungjawab mengemudi kelab itu ke fasa seterusnya.
Beliau bagaimanapun menjelaskan akan terus berada dalam struktur pengurusan kelab bagi memastikan perancangan pembangunan jangka panjang dapat dilaksanakan dengan lancar.
Perkembangan itu disambut positif penyokong yang mengharapkan kebangkitan semula Kelantan, apatah lagi kebanyakan individu yang terlibat merupakan watak penting ketika TRW muncul sebagai antara kuasa besar bola sepak negara suatu ketika dahulu.
Walaupun masih banyak cabaran menanti, cadangan pengambilalihan tersebut dianggap antara projek kebangkitan bola sepak Kelantan paling signifikan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Sportsync Empire