JAKARTA – Indonesia meneruskan rentak cemerlang di bawah kendalian jurulatih baharu, John Herdman apabila menewaskan Mozambique 1-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa sempena kalendar FIFA di Stadium Gelora Bung Karno, malam tadi.
Bermain di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri, skuad Garuda meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam jendela FIFA bulan ini hasil jaringan awal penyerang berbisa, Ole Romeny.
Herdman melakukan beberapa rombakan dalam kesebelasan utama dengan merehatkan beberapa tonggak termasuk Emil Audero dan Justin Hubner, namun perubahan itu tidak menjejaskan rentak pasukan.
Indonesia yang mempertaruhkan gandingan serangan Marselino Ferdinan, Ragnar Oratmangoen dan Romeny berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-12.
Oratmangoen mencipta peluang menerusi hantaran tepat yang memecahkan benteng pertahanan Mozambique sebelum Romeny tenang menyudahkan peluang untuk meletakkan tuan rumah di hadapan.
Gol tersebut menyemarakkan suasana di Gelora Bung Karno apabila penyokong tuan rumah terus memberikan sokongan padu kepada pasukan mereka.
Indonesia kemudian terus menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang berbahaya, namun gagal menambah jaringan sehingga tamat babak pertama.
Mozambique pula berdepan kesukaran menembusi benteng pertahanan Garuda yang tampil lebih tersusun dan berdisiplin sepanjang perlawanan.
Memasuki babak kedua, Indonesia kekal mengawal tempo permainan sambil terus mengasak kubu lawan untuk mencari gol kedua.
Kemasukan pemain gantian seperti Rayhan Hannan dan Sandy Walsh memberikan suntikan tenaga baharu, namun ketumpulan penyudah menyebabkan kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat.
Kemenangan itu menyaksikan Indonesia merekodkan tiga aksi tanpa bolos daripada empat perlawanan sejak Herdman mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih.
Prestasi meyakinkan tersebut dilihat sebagai petanda positif buat skuad Garuda yang kini semakin stabil dari segi pertahanan sambil mengekalkan ancaman di bahagian serangan.
Dengan dua kemenangan dalam aksi FIFA bulan ini, keyakinan Indonesia kini berada pada tahap terbaik menjelang saingan serantau dan antarabangsa yang bakal diharungi selepas ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – PSSI