KUALA TERENGGANU – Penyerang Terengganu FC, Gervane Kastaneer tidak dapat menahan emosi selepas menerima sepucuk surat istimewa daripada bapanya yang mengimbau perjalanan penuh liku sehingga berjaya merealisasikan impian beraksi di pentas Piala Dunia 2026.
Menerusi kempen Letters That Unite anjuran FIFA, pemain kebangsaan Curacao itu menerima surat menyentuh hati yang menceritakan pengorbanan keluarga sepanjang karier bola sepaknya, termasuk saat-saat sukar ketika berdepan kecederaan serius yang hampir memusnahkan masa depannya.
Bapa Kastaneer mengimbau bagaimana beliau sentiasa berada di sisi anaknya sejak kecil, menghadiri perlawanan dan memberi sokongan tanpa berbelah bahagi dalam setiap fasa karier.
Detik paling mencabar berlaku pada 2017 apabila Kastaneer mengalami kecederaan mata dalam satu perlawanan yang hampir menamatkan kariernya ketika namanya sedang meningkat dalam arena bola sepak Eropah.
“Orang hanya melihat kecederaan mata, tetapi kami mengetahui realiti sebenar di sebaliknya,” tulis bapanya sambil mengimbau tempoh penuh kesakitan, ketidakpastian dan perjalanan berulang-alik ke hospital untuk menemani anaknya.
Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun itu berjaya bangkit daripada episod hitam tersebut sebelum membina semula kariernya secara berperingkat di beberapa negara.
Usaha dan pengorbanannya akhirnya membuahkan hasil apabila dipilih menyertai skuad Curacao yang mencipta sejarah layak ke Piala Dunia 2026.
Kastaneer yang terharu dengan kandungan surat itu turut membalas mesej bapanya dengan penuh emosi.
“Ayah, ayah tahu saya bukan seorang yang banyak bercakap, tetapi ayah adalah segala-galanya buat saya. Kita berjaya. Bukan saya seorang, tetapi ayah juga,” katanya.
Kisah menyentuh hati itu turut memberi kebanggaan kepada penyokong bola sepak tempatan apabila pemain Terengganu FC berkenaan bakal membawa nama Liga Super Malaysia ke pentas terbesar dunia.
Sejak menyertai skuad Penyu musim ini, Kastaneer muncul antara pemain import berprofil tinggi yang membantu meningkatkan reputasi Liga Malaysia di peringkat antarabangsa.
Kehadirannya bersama Curacao di Piala Dunia juga membuktikan pemain yang beraksi di Asia Tenggara mampu bersaing dan mencipta impak di pentas global. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – TFC