VANCOUVER – Jonathan David muncul wira Kanada apabila meledak hatrik dalam kemenangan besar 6-0 ke atas Qatar pada aksi kedua Kumpulan B Piala Dunia 2026 di Stadium BC Place, awal pagi tadi.
Kemenangan bergaya itu turut dibantu apabila Qatar mengakhiri perlawanan dengan sembilan pemain selepas dua pemain mereka dilayangkan kad merah.
Kanada membuka jaringan seawal minit ke-15 menerusi Cyle Larin yang pantas menyambar bola muntah selepas percubaan awal gagal ditangkap kemas penjaga gol Qatar, Mahmoud Abu Al Nada.
David kemudian menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-29 sebelum situasi Qatar menjadi lebih buruk apabila Homam Al Amin dilayangkan kad merah pada minit ke-33.
Kanada terus mengambil kesempatan daripada kelebihan pemain apabila David menjaringkan gol kedua peribadinya menjelang tamat babak pertama untuk meletakkan pasukannya selesa mendahului 3-0.
Harapan Qatar untuk bangkit terus berkubur pada awal separuh masa kedua apabila Assim Madibo turut diperintah keluar padang selepas melakukan terjahan keras ke atas Ismaël Koné.
Dengan kelebihan dua pemain, Kanada terus mengganas apabila pemain gantian Nathan Saliba menjadikan kedudukan 4-0 menerusi sepakan percuma menarik yang terkena tiang sebelum menerjah jaring.
Tekanan berterusan Kanada memaksa Mohammed Al Manai menjaringkan gol sendiri pada minit ke-75 sebelum David melengkapkan hatriknya pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan bergaya 6-0.
Selain jaringan Larin dan Saliba, persembahan bertenaga Kanada dengan corak permainan pantas serta penyudah tajam menyaksikan Qatar gagal memberi sebarang tentangan bermakna.
Kemenangan itu melonjakkan Kanada ke tangga teratas Kumpulan B dengan empat mata dan perbezaan gol +6, mengatasi Switzerland yang turut mengumpul empat mata.
Qatar pula kekal di tangga tercorot tanpa sebarang mata selepas mengharungi dua perlawanan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – CANMNT