SHAH ALAM – Seni dan penulisan popular kini muncul sebagai medium berkesan dalam menyampaikan mesej kesedaran kesihatan mental, sekali gus membantu menggalakkan refleksi diri serta mengurangkan stigma berkaitan isu tersebut dalam masyarakat.
Pensyarah Jabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Fitri Fareez Ramli berkata, pendekatan advokasi kesihatan mental tidak lagi terhad kepada ceramah atau sesi kaunseling semata-mata, sebaliknya boleh diperluaskan melalui platform kreatif.
Menurut beliau, seni mempunyai keupayaan untuk menyampaikan pengalaman emosi yang sukar diterjemahkan melalui kata-kata.
“Kadangkala seseorang tidak mampu menjelaskan apa yang dirasainya. Namun melalui lukisan dan tulisan, mereka dapat meluahkan emosi yang terpendam.
“Seni bukanlah sekadar produk yang mempunyai nilai estetika, tetapi juga sebagai medium komunikasi dan refleksi diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk Dari Kanvas ke Komuniti: Peranan Seni dan Penulisan Popular dalam Advokasi Kesihatan Mental sempena program Healing Minds: Art Therapy and Mental Health di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam baru-baru ini.
Tambah beliau, karya seni boleh menjadi titik permulaan kepada perbincangan yang lebih luas mengenai tekanan hidup, kebimbangan, kemurungan dan kesejahteraan psikologi.
Dalam pada itu, Dr. Fitri Fareez turut menekankan peranan penulisan popular sebagai medium penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesihatan mental.
“Penulisan popular pada masa ini tidak hanya tertumpu pada akhbar dan majalah semata-mata. Media sosial juga mempunyai peranan penting dalam advokasi kesihatan mental,” jelasnya.
Menurut beliau, pelbagai sumber ilham termasuk isu semasa, pengalaman peribadi, hasil kajian serta bahan ilmiah boleh dimanfaatkan bagi menyampaikan maklumat berkaitan kesihatan mental kepada masyarakat umum.
Beliau percaya usaha memperluaskan akses kepada ilmu merupakan antara bentuk advokasi penting dalam membina masyarakat yang lebih peka terhadap isu kesihatan mental.
“Sama ada melalui seni, penulisan atau perkongsian pengalaman, usaha kecil yang dilakukan secara konsisten mampu menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih memahami, peka dan menyokong kesejahteraan mental,” katanya.
Program yang menghimpunkan pelajar UiTM itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman Melati dan dirasmikan oleh Pengetua kolej berkenaan, Prof. Madya Dr. Nor Aizam Adnan. – DETIK MALAYSIA