TANJUNG MALIM – Seramai 40 pengayuh menyertai Kayuhan Scenic Test Ride hasil kolaborasi antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan RHB Bank yang berlangsung dengan jayanya di sini semalam.
Program yang bermula seawal pukul 7.30 pagi di Pintu Gerbang UPSI itu melibatkan warga RHB, UPSI serta komuniti berbasikal yang berjaya menamatkan laluan sejauh 78 kilometer.
Lebih menarik, kayuhan tersebut turut disertai Pengarah Urusan RHB Islamic Bank, Datuk Adissadikin Ali serta Ketua Pegawai Klinikal Institut Jantung Negara (IJN), Prof. Datuk Dr. Saiful Azmi Yahaya.
Peserta bukan sahaja mengharungi cabaran laluan kayuhan, malah berpeluang menikmati pemandangan menarik sepanjang perjalanan sebelum menamatkan kayuhan sekitar pukul 11.30 pagi.
UPSI memaklumkan, program itu turut menjadi platform mengukuhkan hubungan antara institusi pendidikan, sektor korporat dan komuniti melalui aktiviti riadah serta gaya hidup sihat.
“Kayuhan ini berjaya menghimpunkan warga UPSI, RHB dan komuniti berbasikal dalam suasana penuh semangat kesukanan serta ukhuwah.
“Ia juga menjadi medium terbaik untuk menggalakkan amalan gaya hidup sihat di samping memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik antara semua pihak yang terlibat,” katanya.
Program tersebut dianjurkan oleh Kelab Basikal Kakitangan UPSI dan Kelab Basikal Pelajar UPSI dengan kerjasama Pejabat Naib Canselor UPSI. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – UPSI