PHILADELPHIA – Perancis mengesahkan kemaraan ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Iraq 3-0 dalam aksi Kumpulan I yang turut dicemari gangguan cuaca di Stadium Lincoln Financial Field awal pagi tadi.
Kapten Perancis, Kylian Mbappe membuka jaringan seawal minit ke-14 menerusi rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol Iraq.
Les Bleus menguasai sebahagian besar permainan pada babak pertama sebelum perlawanan terpaksa dihentikan akibat ribut petir yang melanda kawasan Philadelphia.
Ketika pemain bersedia untuk memulakan babak kedua, pegawai pertandingan mengarahkan perlawanan ditangguhkan selepas kilat dikesan berhampiran stadium mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan di Amerika Syarikat.
Penyokong turut diarahkan meninggalkan kawasan tempat duduk terbuka dan mendapatkan perlindungan di dalam stadium, manakala kedua-dua pasukan berada di bilik persalinan selama lebih dua jam sebelum aksi disambung semula.
Sebaik permainan diteruskan, Mbappe menggandakan kelebihan Perancis pada minit ke-55 selepas memanfaatkan kesilapan komunikasi antara penjaga gol dan pertahanan Iraq sebelum mudah menolak bola ke gawang kosong.
Ousmane Dembele kemudian menambah derita Iraq apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-66 untuk memastikan kemenangan selesa buat finalis Piala Dunia 2022 itu.
Perancis berjaya mengekalkan rekod tanpa bolos sehingga wisel penamat sekali gus mengutip tiga mata penuh dan mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.
Peraturan keselamatan kejohanan di Amerika Syarikat menetapkan perlawanan perlu dihentikan serta-merta sekiranya kilat dikesan dalam lingkungan lapan batu (13 kilometer) dari stadium.
Aksi hanya boleh disambung selepas 30 minit tanpa sebarang sambaran kilat baharu direkodkan.
Sementara itu, dua gol yang dijaringkan Mbappe menyaksikan penyerang berusia 27 tahun itu kini mengumpul 16 gol dalam sejarah Piala Dunia, hanya dibezakan dua jaringan dengan rekod 18 gol milik Lionel Messi.
Perancis kini menyertai Jerman, Mexico dan Amerika Syarikat yang telah mengesahkan kemaraan ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FFF