SHAH ALAM – Semangat rakyat Iran semakin kukuh selepas kesyahidan Pemimpin Agung negara itu, sekali gus membuktikan sesebuah negara tidak mudah ditewaskan hanya melalui kekuatan ketenteraan.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, sejarah membuktikan sesebuah kuasa besar mungkin mampu menakluki wilayah, memusnahkan bangunan dan membunuh pemimpin, namun tidak mampu memadamkan jiwa sesebuah bangsa.
Menurut beliau, tanggapan bahawa kesyahidan Pemimpin Agung akan menyebabkan Iran menjadi lemah adalah tidak tepat kerana kekuatan negara itu berpaksikan pengorbanan, maruah dan keimanan rakyatnya.
“Dalam tamadun Islam, syahid tidak pernah menjadi lambang kekalahan. Sejak peristiwa Karbala sehingga hari ini, darah para syuhada menjadi sumber kebangkitan jiwa serta kesedaran moral bahawa keadilan mempunyai harga yang perlu dibayar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, majlis pengebumian Pemimpin Agung Syahid bukan sekadar upacara penghormatan terakhir, sebaliknya menjadi lambang kesatuan rakyat Iran dalam mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan dan identiti Islam negara itu.
Mohd. Azmi mendakwa perancangan pihak tertentu untuk melemahkan Iran akhirnya gagal apabila rakyat negara berkenaan terus bersatu walaupun berdepan pelbagai tekanan.
“Keunggulan ketenteraan tidak mampu melahirkan legitimasi, sekatan ekonomi tidak mampu memadamkan keyakinan dan peperangan psikologi tidak mampu menundukkan sebuah bangsa yang ketahanannya berakar pada keimanan,” katanya.
Menurut beliau, Iran selama beberapa dekad berdepan sekatan ekonomi, pengasingan diplomatik, serangan siber, sabotaj serta ancaman ketenteraan, namun negara itu masih mampu mempertahankan kedaulatan dan prinsipnya.
Katanya, usaha melemahkan Iran bukan sekadar berkaitan geopolitik, malah dilihat sebagai cubaan mengekang sebuah negara Islam yang bertegas mempertahankan haluan politik, saintifik dan strategiknya tanpa dipengaruhi kuasa luar.
Beliau turut berpandangan bahawa pencerobohan terhadap sesebuah negara berdaulat boleh menjadi preseden berbahaya kepada dunia Islam sekiranya dibiarkan berlaku.
“Kesyahidan Pemimpin Agung menjadi titik perubahan yang menyeru umat Islam supaya memperkukuhkan perpaduan, keberanian dan kebebasan strategik kerana perpecahan merupakan kelemahan terbesar umat,” ujarnya.
Mohd. Azmi berkata, pihak yang mengharapkan Iran menjadi lemah selepas insiden itu sebaliknya menyaksikan rakyat negara berkenaan semakin teguh dan bersatu.
“Sesebuah bangsa tidak bertahan hanya dengan senjata, tetapi melalui ingatan, keyakinan, pengorbanan dan kepercayaan bahawa keadilan sentiasa layak diperjuangkan.
“Dunia kini sedang menyaksikan satu lagi lembaran sejarah apabila jiwa Iran terus bangkit bersama legasi Pemimpin Agung Syahidnya dan menentang setiap usaha untuk memusnahkan semangat sebuah negara Islam,” katanya. – DETIK MALAYSIA
