ZURICH – Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan meneliti cadangan untuk menambah jumlah pasukan bertanding pada Piala Dunia 2030 kepada 64 negara, sekali gus membuka ruang kepada satu lagi pengembangan besar kejohanan itu.
Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata, badan induk bola sepak dunia itu akan meneliti cadangan berkenaan selepas kejohanan Piala Dunia 2026 berakhir.
“Kami akan menganalisis perkara itu. Kami akan melihat apa yang berlaku dalam Piala Dunia ini dan kemudian membuat keputusan mengenai langkah seterusnya,” katanya.
Infantino berkata, kejayaan format baharu 48 pasukan pada Piala Dunia 2026 membuktikan lebih banyak negara mampu bersaing di pentas tertinggi.
Menurutnya, penyertaan lebih banyak negara bukan sahaja meningkatkan daya saing, malah membantu pembangunan bola sepak di seluruh dunia.
“Adalah penting untuk memberi peluang kepada setiap negara bermimpi dan berkembang menerusi penyertaan di Piala Dunia,” katanya.
Sekiranya diluluskan, Piala Dunia 2030 akan menjadi edisi kedua berturut-turut yang diperluaskan selepas kejohanan 2026 menampilkan 48 pasukan buat kali pertama berbanding 32 sebelum ini.
Cadangan itu dijangka menjadikan kejohanan berkenaan membabitkan 128 perlawanan, meningkat daripada 104 aksi pada edisi 2026.
Piala Dunia 2030 juga bakal mencipta sejarah apabila dianjurkan di enam negara merentasi tiga benua.
Uruguay, Argentina dan Paraguay masing-masing akan menjadi tuan rumah satu perlawanan sebagai simbolik sambutan ulang tahun ke-100 Piala Dunia, sebelum baki kejohanan berlangsung di Maghribi, Portugal dan Sepanyol.
Cadangan 64 pasukan itu sebenarnya mula dikemukakan oleh wakil Uruguay dalam mesyuarat FIFA pada Mac tahun lalu sebagai cadangan khas sempena sambutan seabad Piala Dunia.
Bagaimanapun, sehingga kini FIFA belum membuat sebarang keputusan rasmi mengenainya. – DETIK MALAYSIA
