ATLANTA – Penantian lebih dua dekad akhirnya berakhir apabila legenda Argentina, Lionel Messi bakal berdepan England buat kali pertama dalam aksi separuh akhir Piala Dunia 2026, Rabu ini.
Walaupun sudah mewakili Argentina lebih 200 kali sepanjang karier antarabangsa selama 21 tahun, Messi yang kini berusia 39 tahun tidak pernah bertemu England di pentas antarabangsa.
Pertembungan di Stadium Mercedes-Benz, Atlanta itu turut menemukan Messi dengan tonggak muda England, Jude Bellingham yang kini dianggap nadi utama The Three Lions.
England mara ke separuh akhir selepas bangkit menewaskan Norway 2-1 menerusi jaringan kemenangan Bellingham pada masa tambahan, manakala Argentina menundukkan Switzerland 3-1, juga selepas masa tambahan.
Messi mengakui perlawanan menentang England cukup istimewa kerana ia menjadi kali pertama beliau berdepan gergasi Eropah itu.
“Bermain menentang England adalah sesuatu yang istimewa kerana mereka adalah pasukan besar. Ini kali pertama saya akan menentang mereka. Saya sudah bermain menentang hampir semua pasukan kecuali England,” katanya.
Dalam kem England, keyakinan turut memuncak selepas kemenangan dramatik ke atas Norway.
Seorang sumber pasukan berkata, England belum pernah menentang Argentina yang dibarisi Messi, namun percaya Bellingham mampu menjadi pencetus kemenangan.
“Messi adalah ancaman terbesar kepada benteng kami, tetapi Bellingham ialah Messi versi England dan kami bersedia menyahut cabaran itu,” katanya.
Pemenang aksi tersebut akan mara ke final Piala Dunia di New Jersey untuk bertemu sama ada Perancis atau Sepanyol.
Pertemuan England dan Argentina sentiasa sarat dengan sejarah serta persaingan sengit, termasuk episod “Hand of God” Diego Maradona pada Piala Dunia 1986, selain pertembungan panas kedua-dua negara sejak konflik Kepulauan Falklands. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto dan teks – Thesun.co.uk
