PETALING JAYA – PDRM FC sah menarik diri daripada saingan Liga Super Malaysia musim 2026/27 selepas memaklumkan keputusan itu secara rasmi kepada Malaysian Football League (MFL).
Perkara itu disahkan Badan Contoh Pertama (First Instance Body, FIB) MFL selepas menyelesaikan semakan terhadap kelab-kelab yang sebelum ini diberikan Lesen Kelab Kebangsaan berserta sekatan.
Menurut FIB, surat rasmi daripada PDRM FC memaklumkan keputusan untuk tidak meneruskan penyertaan dalam Liga Super musim baharu telah diterima MFL.
“FIB mengesahkan PDRM FC tidak akan mengambil bahagian dalam saingan Liga Super Malaysia 2026/27,” menurut kenyataan itu.
Susulan penarikan diri tersebut, jumlah pasukan yang akan bersaing dalam Liga Super musim depan berkurangan dan dijangka memberi kesan kepada komposisi akhir jadual pertandingan.
FIB memaklumkan, setiap keputusan pelesenan dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap dokumen kewangan, perundangan dan infrastruktur yang dikemukakan setiap kelab.
Semua penilaian dilakukan mengikut Peraturan Pelesenan Kelab MFL (Kitaran 2025-2026) bagi memastikan pematuhan terhadap standard bola sepak profesional sebelum bermulanya musim baharu.
Pada 26 Mei lalu, FIB telah memberikan Lesen Kelab Kebangsaan berserta sekatan kepada empat kelab iaitu Melaka FC, Star City FC (dahulunya Imigresen FC), Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC mengikut Perkara 8.2 Peraturan Pelesenan Kelab MFL.
Keempat-empat kelab diarahkan mengemukakan dokumen tambahan berkaitan kewangan dan infrastruktur selewat-lewatnya pada 15 Julai lalu bagi memenuhi syarat pelesenan.
Bagaimanapun, selepas proses penilaian selesai, FIB mengesahkan Melaka FC, Star City FC dan Kuala Lumpur City FC berjaya memenuhi semua syarat yang ditetapkan sekali gus melengkapkan proses pelesenan serta mengesahkan penyertaan mereka dalam Liga Super musim 2026/27. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – PDRM FC
