KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengecam sekeras-kerasnya dakwaan serangan Amerika Syarikat (AS) berhampiran Hospital Shahid Baqaei di Ahvaz, Iran yang dilaporkan memaksa ratusan pesakit, termasuk kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan kanser, dipindahkan.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sekiranya dakwaan itu disahkan, tindakan tersebut merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang memberikan perlindungan kepada hospital, kemudahan perubatan, petugas kesihatan dan pesakit ketika konflik bersenjata.
Menurut beliau, laporan menyatakan seramai 211 pesakit kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan kemoterapi terpaksa dipindahkan segera susulan letupan berhampiran kawasan hospital.
“Kanak-kanak yang sedang bertarung dengan penyakit mengancam nyawa tidak sepatutnya menjadi mangsa pencerobohan ketenteraan, persaingan geopolitik atau sebarang bentuk intimidasi.
“Menyasarkan kawasan berhampiran kemudahan perubatan sehingga mencetuskan panik, mengganggu rawatan dan membahayakan nyawa orang awam adalah tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan serta tidak boleh dijustifikasikan atas alasan ketenteraan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hospital merupakan tempat perlindungan untuk rawatan dan kemanusiaan yang tidak seharusnya dijadikan medan peperangan.
Menurutnya, masyarakat antarabangsa sebelum ini mengutuk serangan terhadap hospital di zon konflik lain, justeru prinsip sama perlu diterapkan secara konsisten tanpa mengira identiti mangsa atau kepentingan politik.
“Reaksi yang bersifat terpilih hanya akan merosakkan kredibiliti moral sistem antarabangsa,” katanya.

Sehubungan itu, Mapim menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjalankan siasatan segera bagi menentukan fakta sebenar insiden tersebut.
Selain itu, organisasi itu turut menggesa Majlis Hak Asasi Manusia PBB dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB menjalankan siasatan bebas terhadap serangan yang menjejaskan infrastruktur awam dan kemudahan kesihatan.
Mohd Azmi juga meminta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta agensi kemanusiaan antarabangsa menilai kesan insiden terhadap perkhidmatan kesihatan dan memastikan rawatan kepada pesakit terjejas dapat diteruskan.
Dalam masa sama, kerajaan serta pertubuhan masyarakat sivil di seluruh dunia diseru mempertahankan prinsip bahawa hospital dan kemudahan kesihatan mesti kekal sebagai kawasan yang dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Tambah beliau, perlindungan terhadap orang awam, khususnya kanak-kanak dan pesakit, bukanlah isu politik, sebaliknya tanggungjawab moral yang perlu dipertahankan. – DETIK MALAYSIA
